PETALING JAYA: Kehadiran Gabriel Palmero nyata memberi nafas baharu kepada Kuching City apabila pertahanan itu tekad membantu The Cats menutup kempen Piala Malaysia dengan pencapaian membanggakan selepas melangkah ke separuh akhir.
Bekas pemain CD Tenerife itu terus mencuri tumpuan apabila meledak gol dalam penampilan sulungnya bersama Kuching City ketika menewaskan DPMM FC dengan agregat 6-2 di Stadium Negeri, Kuching, Sabtu lalu.
Jaringan itu bukan sekadar melengkapkan kemenangan bergaya, malah membuktikan Palmero mampu menjadi sandaran, khususnya dalam memperkukuh benteng pertahanan dan situasi bola mati.
“Saya berasa gembira berada di sini. Ia satu malam yang tidak akan dilupakan. Ia akan menjadi satu penamat musim yang bagus,” katanya.
Kejayaan tersebut menyaksikan Kuching City melakar kemaraan penuh bergaya ke kelompok empat terbaik, sekali gus membuka peluang mencipta sejarah tersendiri dalam saingan Piala Malaysia musim ini.
Bagaimanapun, cabaran lebih getir menanti apabila mereka dijadual berdepan gergasi Lembah Klang, Selangor FC yang turut mara dengan reputasi dan pengalaman luas dalam kejohanan berprestij itu.
Pertembungan tersebut dijangka berlangsung sengit dengan Kuching City mahu meneruskan momentum kemenangan, manakala Selangor FC pastinya bertekad memanfaatkan pengalaman di pentas besar.
Dalam konteks itu, pengalaman antarabangsa yang dimiliki Palmero dilihat mampu menjadi kelebihan buat The Cats, bukan sahaja dari aspek pertahanan, malah sebagai pemimpin di atas padang dalam misi memburu slot ke pentas akhir.-UTUSAN






