June 14, 2024

Pan-gon belum mahu tekan butang panik


WALAUPUN dihimpit isu kecederaan seorang demi seorang pemain tonggak, pengendali skuad Harimau Malaya, Kim Pan-gon kekal optimis menyediakan barisan pemain berkualiti bagi menghadapi baki dua perlawanan Kumpulan D, pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan dan Taiwan, bulan hadapan.

Menurut Pan-gon, beliau tidak mahu terlalu memikirkan perkara tersebut sebaliknya ingin lebih fokus kepada pemilihan pemain lain, yang mampu menggalas cabaran membawa pasukan negara melangkah ke peringkat seterusnya, dalam saingan tersebut.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum ini mengumumkan senarai nama 23 pemain bagi menyertai kem latihan pusat bermula hari ini, menyaksikan tonggak utama seperti pemain sayap masing-masing Arif Aiman Mohd Hanapi dan Mohamad Faisal Abdul Halim, serta penyerang Romel Morales diketepikan berikutan masalah kecederaan.

“Ia satu masalah besar dengan kes berkaitan Faisal Halim, kecederaan Arif Aiman dan kecederaan buku lali Morales. Semua penyerang utama ada masalah dan ini yang kita hadapi pada ketika ini, tetapi kita masih ada pemain lain.

“Saya percaya kesemua pemain mempunyai kualiti yang sama, mungkin mereka mempunyai motivasi yang lebih dan ini masa mereka untuk buktikannya. Bagaimanapun kita akan cuba mencari pilihan terbaik dan percaturan untuk persediaan kepada perlawanan itu,” katanya ketika ditemui semasa kem latihan pusat di Wisma FAM, Kelana Jaya di sini pada Isnin.

Terdahulu, isu kecederaan pemain terus berlarutan selepas seorang lagi tonggak Syafiq Ahmad, juga terpaksa digugurkan daripada senarai apabila mengalami kecederaan seperti dimaklum FAM.

Pan-gon bagaimanapun memanggil pemain Kuala Lumpur City FC, Zhafri Yahya, untuk mengisi kekosongan pemain Kedah Darul Aman FC itu.

Selepas empat perlawanan, Malaysia yang berada di posisi ketiga Kumpulan D dengan enam mata akan menentang Kyrgyzstan di Stadium Dolen Omurzakov, Bishkek pada 6 Jun sebelum bertemu Taiwan pada aksi terakhir di Stadium Nasional, Bukit Jalil di sini pada 11 Jun.

Kyrgyzstan kini menerajui saingan Kumpulan D diikuti Oman di tempat kedua, dengan masing-masing mengumpul sembilan mata.

Kedua-dua pasukan itu akan bertemu dalam perlawanan terakhir kumpulan pada 11 Jun, sementara Taiwan tercorot tanpa sebarang mata.

Pasukan negara memerlukan tiga mata dalam kedua-dua perlawanan terakhir, sambil mengharapkan Oman menumpaskan Kyrgyzstan untuk mencerahkan peluang mencipta sejarah layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026, serta melayakkan diri lebih awal ke Piala Asia 2027. – Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!



Source link

OR

Scroll to Top