mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pengendali Selangor FC, Kim Pan-gon mengakui semakin dapat merasai identiti dan ‘DNA’ permainan yang cuba diterapkan dalam skuad Gergasi Merah selepas berjaya melangkah ke final Kejuaraan Kelab Asean (ACC).
Selangor mengesahkan kemaraan ke final selepas menewaskan wakil Vietnam, Nam Dinh FC 2-0 pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Thien Truong, sekali gus mara dengan agregat 4-1.
Penyerang import Brazil, Chrigor Moraes muncul wira apabila meledak dua gol menerusi sepakan penalti pada minit ke-40 sebelum menambah jaringan kedua pada penghujung perlawanan.
Kejayaan itu menyaksikan Selangor kini hanya selangkah untuk menamatkan penantian panjang memburu trofi utama selepas kali terakhir menjulang Piala Malaysia pada 2015.
Menurut Pan-gon, pencapaian mara ke final pada musim pertamanya bersama Selangor cukup bermakna dan menjadi bukti pemain semakin memahami corak permainan yang mahu diterapkan.
“Saya sangat menghormati semua pemain Selangor. Mereka menunjukkan komitmen dan semangat juang yang sangat kuat.
“Saya harap semua penyokong Gergasi Merah bangga dengan pemain. Terima kasih kepada penyokong yang datang ke sini dan juga yang menyokong dari Malaysia,” katanya.
Jurulatih dari Korea Selatan itu menjelaskan apa yang paling menggembirakannya adalah perkembangan pasukan yang semakin menunjukkan identiti tersendiri dari satu perlawanan ke satu perlawanan.
“Sejak saya datang, kami cuba membentuk DNA dan karakter bola sepak sendiri.
“Apa yang membuatkan saya paling gembira ialah hari demi hari, perlawanan demi perlawanan, kami mula dapat merasai DNA Selangor itu,” katanya.
Menurutnya, Selangor kini bukan sahaja tampil sebagai pasukan menyerang, malah semakin kukuh dari segi kerja berpasukan dan disiplin taktikal.
© New Straits Times Press (M) Bhd






