Pang Ron (kanan) dan Su Yin terpaksa akur tewas kepada pasangan tuan rumah dalam aksi final China Masters di Shenzhen pada Sabtu. Foto Agensi
IMPIAN beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Chen Su Yin untuk melakar sensasi meraih gelaran pertama Kejohanan Badminton Super 750 Masters China 2024 di Shenzhen tidak kesampaian.
Pujian bagaimanapun wajar diberikan kepada pasangan bukan pilihan itu apabila tidak memberi kemenangan mudah buat gandingan tuan rumah yang menghuni ranking nombor dua dunia, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping apabila mengheret aksi final sehingga ke set penentuan sebentar tadi.
Dalam saingan di Gimnasium Shenzhen itu, pasangan negara yang berada di kedudukan ke-23 dunia memulakan aksi dengan yakin apabila memimpin permainan dari awal sebelum terikat 16-16.
Perlawanan kemudian bertambah sengit apabila kedua-dua pasangan saling bertukar mata sebelum Pang Ron-Su Yin menoktahkan kemenangan 23-21 pada set pertama.
Tersentak dengan aksi bertenaga pasangan negara, Yan Zhe-Dong Ping yang dipacu sorakan padu peminat mengubah rentak permainan untuk mendahului permainan 16-12.
Pang Ron-Su Yin bagaimanapun enggan menyerah kalah apabila terus memaksa gandingan tuan rumah bekerja keras sebelum menang 25-23 untuk mengheret aksi ke set penentuan.
Menjengah aksi pada set ketiga, pasangan negara cuba bangkit, namun pengalaman membataskan permainan mereka apabila terpaksa menyerahkan kemenangan kepada Yan Zhe-Dong Ping 21-16 dalam tempoh 93 minit.
Pang Ron-Su Yin pada Sabtu melakar pencapaian tertinggi dalam karier mereka apabila buat kali pertama melangkah ke final kejohanan bertaraf Super 750 sejak digandingkan pada November tahun lalu.
Kejayaan itu hadir selepas mereka mengejutkan pasangan nombor tujuh dunia dari Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet 21-14, 17-21, 21-19 pada aksi separuh akhir.
Sebagai rekod, Pang Ron-Su Yin tewas di tangan lawan itu ketika suku akhir Terbuka Hong Kong, September lalu.