Pantai Esen kawasan berselut semula jadi, berlaku 'algae bloom' – Exco

Pantai Esen kawasan berselut semula jadi, berlaku 'algae bloom' – Exco



am@hmetro.com.my

Georgetown: Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari mengesahkan bahawa kerja penambakan bagi pembinaan Pulau Silikon berhampiran Pantai Esen, Permatang Damar Laut di sini, mematuhi garis panduan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Katanya, ia termasuk mendapat kelulusan bagi Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) selain melaksana langkah ketat seperti penggunaan langsir kelodak dua lapis.

“Kita perlu faham bahawa kawasan berkenaan sememangnya kawasan lumpur semula jadi dan kejadian (pencemaran) baru-baru ini juga berlaku atas faktor peningkatan alga atau ‘algae bloom’.

“Alga bukan sesuatu yang terhasil daripada kerja penambakan dan pokok. Soalan yang lebih penting adalah bagaimana peningkatan alga ini boleh terjadi?” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Zairil berkata, antara kemungkinan berlaku peningkatan alga adalah terdapat efluen dari hulu sungai berhampiran yang mengalir ke laut.

“Di kawasan sekitar juga terdapat beberapa aktiviti pertanian dan juga loji rawatan kumbahan.

“Pada masa yang sama, hasil tinjauan mendapati tiada alga yang terlekat atau

membiak dalam kawasan langsir kelodak dan ini menunjukkan bahawa sumbernya bukan dari tapak projek tambakan Silicon Island,” katanya.

Beliau juga memaklumkan pihaknya masih menunggu keputusan ujian makmal sampel daripada pantai itu yang disahkan oleh agensi teknikal.

Sementara itu katanya, semua pihak diminta tidak membuat sebarang spekulasi berhubung isu pencemaran pantai itu.

Harian Metro sebelum ini melaporkan keadaan pantai permata tersembunyi negeri itu yang dicemari selut dan bau busuk, dipercayai berpunca daripada projek tambakan laut yang terletak tidak jauh dari situ.

Selain menjejaskan pendapatan pengusaha sukan air, penduduk mendakwa hidupan laut seperti siput banyak ditemukan mati di pesisir pantai.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top