GEORGE TOWN : Keadaan Pantai Esen yang didakwa tercemar selepas dipenuhi dengan lumpur hitam sebenarnya adalah fenomena biasa ketika berlakunya perubahan angin monsun setiap tahun.
Difahamkan, lumpur hitam itu ‘muncul’ disebabkan pergerakan air pasang dan surut yang kuat berikutan fenomena Supermoon yang turut melanda negeri ini sejak 17 Oktober lalu.
Bagi seorang nelayan, Zulkipli Bakar, 61, air laut yang digenangi lumpur hitam bukanlah sesuatu yang pelik kerana ia pernah berlaku sebelum ini.
Dia yang berpengalaman selama lebih 30 tahun sebagai nelayan berkata, lumpur itu bagaimanapun akan hilang sendiri semasa air pasang nanti.
“Ini (sekarang) adalah masa apabila lumpur (itu) menjadi likat dan ia akan kelihatan di sepanjang pantai.
Namun, apabila air surut nanti, keadaan mungkin menjadi lebih teruk kerana lumpur itu terperangkap dalam air yang tenang untuk tempoh yang lama,” katanya di sini, hari ini.
Saaroni Hassan, 74, pula memberitahu, dia dan nelayan lain di kawasan itu telah berdepan dengan masalah lumpur sejak lebih 20 tahun yang lalu.
“Ini bukan masalah baharu kerana ia telah berlarutan sejak sekian lama. Lumpur ini timbul disebabkan perubahan cuaca yang berterusan,” katanya yang memaklumkan, pantai-pantai di kawasan itu kini telah menjadi dataran lumpur yang panjang iaitu dari Pantai Esen hingga ke Sungai Burong di Balik Pulau.
Jelas Saaroni, kawasan pantai berlumpur itu bagaimanapun akan kembali normal sebaik sahaja fenomena air pasang besar dan musim monsun berakhir kerana arus laut akan membawa lumpur itu kembali ke laut terbuka.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation (PIC), Datuk Seri Farizan Darus berkata, beliau telah mengarahkan agar pegawai yang berkenaan membantu pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri dalam memantau keadaan kawasan pesisir pantai tersebut ketika ini.
Katanya, hasil daripada sesi libat urus yang diadakan oleh pegawai informasi Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan (PPSN) bersama beberapa orang nelayan dari kawasan setempat juga mengesahkan bahawa fenomena semula jadi seperti air pasang besar dan angin monsun akan menyebabkan gangguan pada kawasan dasar laut yang berlumpur.
“Keadaan semula jadi kawasan pesisiran pantai Pulau Pinang Selatan adalah kawasan dataran lumpur. Ini turut disahkan semasa penyediaan laporan EIA (Penilaian Kesan Kepada Alam Sekitar). Tambahan pula, tiada aktiviti pengorekan yang dijalankan di kawasan sekitarnya yang boleh menyumbang kepada kejadian selut (lumpur) tersebut,” katanya.
Tambah Farizan, pemantauan terperinci dilakukan setiap tiga bulan termasuk pada bulan Mac, Jun dan Oktober tahun ini manakala laporan-laporan berkaitan dan analisis yang diserahkan kepada JPS menunjukkan tiada perubahan ketara berbanding dengan kajian asas awal berhubung kejadian itu.-UTUSAN