Hannah (empat dari kanan) mahu para pemain bangkit dengan lebih kuat. Foto: SINAR HARIAN/MOHD HALIM ABDUL WAHID
MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh membakar semangat skuad sepak takraw negara apabila mahu mereka bangkit lebih kuat pada masa akan datang.
Tegas beliau, para pemain perlu terus berjuang tanpa henti bagi menghadiahkan kejuaraan buat rakyat Malaysia.
Pasukan negara terpaksa akur terlepas gelaran apabila tewas 0-2 kepada Thailand dalam acara regu berpasukan Piala Asia 2025 di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur pada Ahad.
“Saya akui memang berat untuk kita menelan kekalahan di tangan Thailand dalam aksi final Piala Asia yang masih ‘kebal’ selama 34 tahun dalam acara regu berpasukan.
“Namun tidak bermakna kita akan mudah menyerah kalah dan tidak berbuat apa-apa. Ini Malaysia, sebuah negara yang pantang berundur daripada mana-mana perjuangan.
“Kepada pasukan sepak takraw negara, teruskan perjuangan kalian untuk terus memburu kejuaraan. Nyalakan obor kebanggaan buat negara khususnya kepada generasi muda,” katanya.
Di sebalik keputusan tersebut Hannah turut bangga dengan dua kejuaraan yang diraih oleh Malaysia.
“Dalam kempen Piala Asia kali ini, kita berjaya memenangi dua gelaran juara dalam acara kuadran dan regu, sementara acara double dan regu berpasukan kita terpaksa akur tampil sebagai naib juara.
“Ingatlah, rakyat Malaysia tidak akan pernah berhenti menyokong dengan doa, sokongan dan sorakan dari seluruh pelosok negara kepada sukan sepak takraw,” ujar Hannah.