Pantulan imej di mesin basuh, lelaki dipenjara

Pantulan imej di mesin basuh, lelaki dipenjara


Seoul: Seorang pemuda di Korea Selatan menafikan pertuduhan merogol dan mengurung secara salah terhadap bekas teman wanitanya, namun bukti luar biasa yang ditemukan pada saat akhir menyebabkan dia tiada pilihan melainkan mengaku salah.

Portal Independent melaporkan, bukti itu adalah rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan pantulan imej di pintu mesin basuh.

Pemuda berusia 24 tahun itu kini dijatuhkan hukuman penjara tujuh tahun atas pelbagai jenayah seks, termasuk rogol, kurungan yang menyalahi undang-undang dan serangan seksual.

Dia juga disabitkan dengan kesalahan merogol mengikut undang-undang membabitkan gadis bawah umur.

Media tempatan melaporkan, lelaki itu pada mulanya menafikan tuduhan terhadapnya, namun analisis forensik terhadap rakaman CCTV selama 39 minit mendedahkan tindakannya menerusi refleksi pada mesin basuh, membawa kepada pengakuannya.

Bekas teman wanitanya, yang nama dan umur tidak didedahkan kepada umum, mendakwa dirogol enam kali antara Mac dan April tahun lalu.

Wanita itu diperlakukan begitu selepas cuba memutuskan hubungan mereka selepas menemukan gambar dan video seks wanita lain di telefon teman lelakinya.

Ketika itu, The Korea Times melaporkan, lelaki sudah dibicarakan kerana merogol bekas pasangan lain pada 2022 dan mengancam untuk mengeluarkan video seksnya.

Pada mulanya, rakaman CCTV yang dikemukakan oleh mangsa kelihatan kabur sebelum penyiasat menyedari ada pantulan pada pintu mesin basuh.

Media Korea Selatan melaporkan rakaman itu jelas menunjukkan lelaki itu dan bekas teman wanitanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top