KUALA LUMPUR:Fenomena ‘Demam Papa Zola’ terus mencetuskan sensasi apabila Papa Zola The Movie mencatat kutipan box office memberangsangkan sebanyak RM43 juta, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara filem animasi tempatan paling berjaya dalam sejarah perfileman negara.
Kejayaan luar biasa itu turut dipacu oleh pelbagai inisiatif berteraskan impak sosial menerusi penganjuran tayangan khas dan program ‘belanja wayang’ oleh pempengaruh tempatan antaranya Ashhhrap, Xavier Naxa, Cikgu Marviza, Wawan Foodie, Miera Faera, Bella Park dan ramai lagi.
Usaha tersebut membuka peluang kepada lebih ramai keluarga serta komuniti terpilih menikmati filem berkenaan, selari dengan semangat kebersamaan, keceriaan dan sokongan komuniti yang diketengahkan Papa Zola.
Pengarah dan Penulis Papa Zola The Movie merangkap Ketua Pegawai Eksekutif MONSTA, Nizam Abd Razak berkata, sambutan hangat itu amat bermakna terutama dalam suasana cuti persekolahan yang menjadi ruang untuk keluarga berkumpul.
“Yang menyentuh hati kami, filem ini bukan sahaja ditonton ibu bapa dan anak-anak, malah mak ayah, atuk dan nenek turut dibawa ke pawagam.
“Inisiatif komuniti yang membantu lebih ramai keluarga merentas generasi menikmati filem ini sangat dekat dengan nilai yang cuba kami sampaikan,” katanya.
Sementara itu, Penerbit Eksekutif Papa Zola The Movie merangkap Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata, kejayaan itu membuktikan filem tempatan masih mampu memberi saingan hebat kepada karya antarabangsa.
“Walaupun pawagam kini dibanjiri filem baharu daripada francais popular Hollywood, filem tempatan tetap mendapat tempat di hati penonton.
“Terima kasih tidak terhingga kepada penonton, rakan media serta pihak pawagam yang memainkan peranan penting dalam menjayakan kejayaan ini,” katanya.
Papa Zola The Movie mengisahkan Papa Zola, seorang bapa yang bekerja keras menyara keluarganya sebelum terpaksa kembali beraksi apabila anaknya, Pipi, diculik makhluk asing.
Bersama Mama Zila, dia berdepan cabaran menyelamatkan Pipi dan melindungi dunia daripada ancaman tersebut.
Filem ini kini ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei, sebelum melangkah ke pasaran antarabangsa bermula Januari 2026 di Indonesia serta India, Vietnam dan pasaran Timur Tengah termasuk Arab Saudi, UAE, Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar dan Turki pada April 2026.
Lebih daripada sekadar hiburan, Papa Zola The Movie membuktikan karya animasi tempatan mampu berdiri setanding filem antarabangsa, sekali gus menjadi naskhah keluarga yang menyatukan generasi menerusi momen kebersamaan sepanjang musim cuti persekolahan.






