Papagomo buat permohonan maaf seperti satu lawak

Papagomo buat permohonan maaf seperti satu lawak


KUALA LUMPUR: Video permohonan maaf Papagomo kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain yang dibuat dan diterbitkan di laman sosial blogger tersebut dengan berlatarbelakangkan lagu ‘Maafkan Kami’ disifatkan sebagai tidak ikhlas dan dibuat seolah-olah permohonan maaf itu adalah satu lawak.

Lagu `Maafkan Kami’ hasil nukilan Tan Sri P. Ramlee antara lagu yang dipaparkan dalam filem Pendekar Bujang Lapok.

Menurut peguam Raam Kumar yang mewakili pegawai tertinggi polis itu, blogger terbabit sepatutnya hanya berdiam diri dan tidak membuat sebarang kenyataan selepas memohon maaf secara terbuka di Mahkamah Tinggi di sini pada 30 April lalu.

“Permohonan maaf yang diterbitkan (pada 30 April lalu) itu dibuat seperti satu lawak jenaka. Perlu diingat bahawa ini adalah urusan mahkamah, di mana defendan (Papagomo) perlu menunjukkan unsur kesungguhan beliau.

“Beliau sepatutnya meminta maaf yang dikemukakan dengan tanpa syarat dan kemudian perlu mendiamkan diri sahaja, tetapi sebaliknya menyiarkan penjelasan mengenai permohonan maaf itu,”kata peguam itu pada prosiding permohonan komital kali kedua terhadap Papagomo atau nama sebenarnya, Wan Muhammad Azri Wan Deris.

Pesuruhjaya Kehakiman Gan Techiong kemudian membenarkan permohonan kebenaran ex-parte (secara sebelah pihak) yang dipohon Razarudin selepas mendapati wujudnya prima facie. Prosiding komital inter parte ditetapkan untuk pendengaran pada 30 Jun ini.

Pada 30 April lalu, Mahkamah memerintahkan Papagomo untuk menyiarkan permohonan maaf dan memadamkan kenyataan serta gambar yang telah diubah suai selepas merekodkan permohonan maaf Papagomo kerana melanggar perintah injunksi yang dikenakan terhadapnya.

Pada tarikh tersebut, mahkamah sepatutnya mendengar permohonan komital oleh Razarudin bagi memulakan tindakan undang-undang terhadap Papagomo yang dikatakan menghina mahkamah dengan melanggar perintah yang telah dikeluarkan.

Perintah injunksi tersebut diperoleh Razarudin pada 31 Disember 2024 yang antara lain melarang dan menghalang blogger itu daripada menerbitkan atau menyiarkan kenyataan fitnah di semua platform media sosial yang ditujukan kepada Razarudin sehingga perbicaraan kes saman itu diputuskan.

Perintah injunksi itu adalah di antara relif yang dimohon dalam saman fitnah difailkan pegawai tertinggi polis itu pada 26 Disember 2024 yang turut menuntut ganti rugi sebanyak RM3 juta.

Menurut saman itu, Razarudin mendakwa Papagomo telah mengeluarkan kenyataan yang melabelkan plaintif sebagai pelacur banduan terhormat dan penjilat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kenyataan, video, status serta komen itu adalah berkenaan kedudukan Razarudin sebagai Ketua Polis Negara dan secara peribadi secara bertulis, lisan sama ada secara atas talian di platform media sosial dan melalui aplikasi pesanan ringkas seperti Telegram dan WhatsApp.

Papagomo juga diperintahkan dikehendaki menarik balik, menurunkan dan memadamkan penerbitan siaran video di Youtube, Tiktok, Facebook, Telegram dan X miliknya bertarikh 14, 15, 20 dan 22 Disember 2024 yang mengandungi kenyataan fitnah terhadap Razarudin.

Pada 19 Disember 2024, Razarudin mengesahkan blogger terbabit diambil keterangan di Balai Polis Setapak berkaitan video berbaur fitnah dan mengaibkan KPN serta PDRM yang dimuat naik di Youtube.

Kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil, Seksyen 500 dan 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Pada 24 Disember 2024, media melaporkan kertas siasatan membabitkan blogger Papagomo berkaitan video tohmahan terhadap Ketua Polis Negara dan PDRM sudah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara. – UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top