PAHANG berjaya mengutip 15 pingat emas pada temasya Para Sukan Malaysia (Para Sukma) 2024 di Sarawak yang berakhir pada Sabtu.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal berkata, kutipan itu melebihi sasaran ditetapkan iaitu sekitar 10 pingat emas pada sebelum ini.
“Ini pencapaian terbaik Pahang di luar, sebelum ini hanya sembilan emas sahaja. Setakat ini, kita sudah perolehi 15 pingat emas.
“Kita juga ada potensi untuk memungut dua emas dan diharap mampu dicapai (pada hari ini),” katanya ketika mengadakan sidang akhbar selepas Program Pahang International Scout Scarf Festival 2024 di Stadium Darul Makmur, pada Sabtu.
Fadzli turut menyuarakan terbaru dengan komitmen yang diberikan oleh Kontinjen Para Sukma Pahang yang diketuai ketua pasukan, Khaizulnizam Mohd Zuldin.
Jelasnya, para atlet mampu mencipta kejayaan walaupun mereka serba kekurangan.
“Kejayaan mereka pada hari ini membuktikan tidak mustahil boleh berjaya sekiranya ada kesungguhan.
“Justeru, kerajaan Pahang akan bersama dengan atlet Para Sukma ini dan Insya-ALLAH akan ada perubahan yang akan saya maklumkan kemudian,” katanya.