July 27, 2024

Parallel Pathway: Beberapa pindaan mungkin dilakukan

Parallel Pathway: Beberapa pindaan mungkin dilakukan


PUTRAJAYA – Beberapa pindaan mungkin dilakukan berhubung undang-undang sedia ada bagi menyelesaikan kemelut isu Latihan Ijazah Lanjutan Kepakaran atau ‘Parallel Pathway’.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, pandangan daripada segi perundangan dimaklumkan Pejabat Peguam Negara kepada Jemaah Menteri hari ini.

“Pihak Pejabat Peguam Negara sudah memberi beberapa pandangan dari segi perundangan dan Jemaah Menteri dimaklumkan bahawa perlu sedikit pindaan kepada undang-undang sedia ada.

“Ini akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri minggu depan. Jadi belum diputuskan tetapi ada perkembangan dan kertas (Kabinet) yang dimaksudkan akan dibawa minggu depan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Jemaah Menteri, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) meminta Universiti Teknologi MARA (UiTM) membenarkan kemasukan pegawai perubatan bukan Bumiputera yang ingin mendapatkan latihan khusus bidang kardiotoraks, sama seperti institusi itu menerima pelajar antarabangsa.

Cadangan itu menerima kritikan pelbagai pihak, termasuk mahasiswa UiTM termasuk alumni dengan menegaskan universiti itu hanya untuk Bumiputera seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, buat masa ini tidak ada perbincangan mengenai kemasukan pelajar bukan Bumiputera ke UiTM di peringkat kementerian mahu pun Kabinet.

Sementara itu, ditanya mengenai undang-undang yang akan dipinda bagi menyelesaikan isu berkenaan, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, perkara tersebut masih belum dimaklumkan kepada Jemaah Menteri.

“Perlu tunggu pembentangan kertas (Kabinet) minggu depan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, seperti yang dijelaskan Zambry, terdapat salah faham dalam kalangan ramai membabitkan isu berkenaan.

Ujarnya, beberapa pihak termasuk UiTM dan bekas Naib Canselornya sudah diberikan penjelasan berhubung perkara tersebut.

“Ada sedikit salah faham dalam khalayak umum kerana dimaklumkan sebelum ini bukan untuk membuka bagi tujuan pendidikan tetapi bagi ‘housemanship’ di Hospital UiTM.

“Itu yang dimaksudkan dan dimaklumkan kepada Jemaah Menteri kerana apabila isu itu dibangkitkan, ia seolah-olah ada kaitan tetapi sebenarnya perkara berbeza,” tambahnya. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top