Paris 2024: Kalah dengan 1kg lebih mengecewakan -Aniq

Paris 2024: Kalah dengan 1kg lebih mengecewakan -Aniq


PARIS- Badang negara Mohamad Aniq Kasdan melahirkan perasaan kecewanya apabila terlepas peluang meraih pingat dengan perbezaan 1 kilogram berbanding mengalami kekalahan teruk.

Reaksi itu dikongsi Aniq apabila terlepas menaiki podium dalam acara angkat berat kategori 61kg lelaki pada Sukan Olimpik Paris 2024, malam tadi.

Atlet berusia 20 tahun itu berkata, dia membuat percaturan untuk memburu pingat dengan bebanan 174kg pada percubaan kedua dan ketiga clean & jerk, namun tidak dapat disempurnakan dengan baik.

“Saya dah cuba angkat lebih daripada apa yang saya pernah buat sebelum ini (172kg dalam latihan), tetapi tidak berjaya. Jika berjaya dengan bebanan 174kg itu, boleh dapat pingat perak dan buat rekod kebangsaan baharu (bagi clean & jerk).

“Terpaksa pulang dengan kekecewaan tapi pada masa sama, saya dapat pengalaman baharu dalam sukan ini. Saya puas hati dengan angkatan snatch, cuma clean & jerk tak jadi,” katanya di South Paris Arena 6.

Aniq, yang akan beraksi pada Kejohanan Komanwel 2024 di Fiji dari 17 hingga 24 September depan, berjanji untuk terus menampilkan prestasi terbaik bagi meraih pingat dalam kejohanan akan datang.

Terdahulu, Aniq menamatkan saingan di tempat keempat dengan catatan rekod kebangsaan baharu iaitu angkatan keseluruhan 297kg, 1kg mengatasi rekod kebangsaannya.

Bagi acara snatch, Aniq melebur rekod kebangsaan 129kg milik Muhamad Aznil Bidin, apabila mengangkat bebanan 130kg namun dia hanya berjaya dalam percubaan 167kg bagi clean & jerk.

Aniq sebelum ini memegang rekod kebangsaan bagi clean & jerk dengan catatan 170kg dan keseluruhan 296kg.

Li Fabin dari China mempertahankan pingat emas dengan jumlah angkatan 310kg (143kg, 167kg) manakala perak dan gangsa masing-masing menjadi milik Theerapong Silachai dari Thailand dengan 303kg (132kg, 171kg) dan atlet Amerika Syarikat, Hampton Morris dengan angkatan 298kg (126kg, 172kg).

Sementara itu, pengurus pasukan Amirul Hamizan Ibrahim berkata, pihaknya mengambil keputusan untuk lakukan percubaan 174kg kerana berdasarkan rekod sememangnya Morris, pemegang rekod dunia (176kg) mampu mengatasi Aniq untuk pingat.

“Namun, saya amat berpuas hati kerana Aniq masih muda. Ini satu daripada kategori baharu untuknya selepas hanya setahun lalu tukar daripada kategori 55kg (yang tiada dalam Olimpik).

“Jika digilap dengan betul, dia mampu menghadirkan saingan lebih baik.

“Cuma, kami harap dia lebih konsisten selepas ini untuk mencabar pingat dalam temasya dan kejohanan utama,” katanya. – BERNAMA



Source link

OR

Scroll to Top