PARIS – Terselamat dalam kumpulan maut menentang beberapa pemain terbaik dunia dalam penampilan sulung Sukan Olimpik bukan halangan yang semua orang boleh mengatasinya, tetapi pasangan beregu wanita negara Pearly Tan-M. Thinaah berjaya dalam misi ini.
Beregu ranking ke-13 dunia itu melakukan dua kejutan besar menentang pasangan dalam senarai 10 terbaik dunia pada Sukan Olimpik Paris 2024 Kumpulan A untuk mara ke suku akhir di Arena Porte de La Chapelle di sini.
Pearly-Thinaah yang tewas kepada juara dunia dari China Chen Qing Chen-Jia Yi Fan pada Sabtu bangkit untuk menewaskan juara dunia dua kali Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara dari Jepun pada Ahad.
Dalam misi hidup atau mati menentang pasangan nombor sembilan dunia Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti hari ini, Pearly-Thinaah mengejutkan beregu Indonesia itu 21-18, 21-9 untuk mengesahkan tempat ke peringkat suku akhir sekali gus menjadi pasangan wanita kedua Malaysia untuk mara ke suku akhir Olimpik selepas kejayaan Vivian Hoo-Woon Khe Wei di Rio 2016.
Apriyani adalah juara bertahan yang memenanginya di Tokyo 2020 bersama pasangan sebelumnya Greysia Polii.
Mengulas mengenai tahap tekanan yang perlu diharungi juara Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu, Pearly berkata pertarungan itu bukan sahaja menentang Apriyani-Siti Fadia, tetapi juga diri mereka sendiri.
“Mengetahui ini adalah perlawanan yang mesti dimenangi, ia benar-benar sukar untuk mental kami kerana kami perlu lebih konsisten dan tenang. Kami melakukan kesilapan mudah pada set pertama yang tidak sepatutnya kami lakukan, terutamanya saya.
“Saya gementar dan agak tekanan kerana saya benar-benar mahu memenangi perlawanan itu. Tetapi Thinaah ada di sisi saya dan tenangkan saya, sokong saya, jadi ini perkara utama yang saya atasi dan sangat gembira untuk kemenangan itu,” katanya.
Thinaah menambah, kedua-dua mereka berada dalam keadaan tertekan sejak semalam memikirkan perlawanan itu kerana mengetahui mesti menang demi kelangsungan dalam Sukan Olimpik.
“Perlawanan ini adalah yang paling teruk (dari segi tekanan) kerana ia adalah perlawanan yang sangat penting untuk kami berdua, kerana kami tahu keputusan perlawanan lain (China menewaskan Jepun), jadi kami mesti menang. Membawa tekanan itu ke gelanggang benar-benar perasaan yang berbeza daripada apa yang kami pernah alami, jadi ini adalah perasaan dan pengalaman baharu untuk kami berdua.
“Kami sentiasa menenangkan antara satu sama lain dalam situasi sebegini, saya rasa itulah yang paling penting sebagai pasangan. Kadang-kadang seseorang akan gugup manakala seorang lagi tenang, begitu juga sebaliknya atau kedua-duanya tidak dalam keadaan baik, tetapi cara kami mengembalikan keyakinan itu penting,” katanya.
Setelah terselamat daripada kumpulan maut, Pearly-Thinaah berharap dapat meneruskan momentum di peringkat kalah mati bermula Khamis sambil menumpukan perhatian kepada pemulihan mereka.
Undian untuk suku akhir akan diadakan selepas tamat semua perlawanan kumpulan.
Sebagai naib juara Kumpulan A, Pearly-Thinaah akan diundi untuk menentang salah satu juara kumpulan, kecuali pemenang Kumpulan A Qing Chen-Yi Fan pada suku akhir. – Bernama