Paris 2024: ‘Tembok’ dari China sekali lagi halang kemaraan Aaron-Wooi Yik ke final

Paris 2024: ‘Tembok’ dari China sekali lagi halang kemaraan Aaron-Wooi Yik ke final


PARIS – Beregu harapan emas negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, sekali lagi dihalang kemaraan ke final oleh ‘tembok besar’ dari China pada peringkat separuh akhir Sukan Olimpik Paris 2024.

Pemenang gangsa edisi lepas itu tewas 19-21, 21-15, 17-21 selepas perlawanan mendebarkan menentang pilihan utama Liang Wei Keng-Wang Chang, hari ini.

Aaron-Wooi Yik selaku juara dunia 2022 memberikan tentangan hebat dengan mengekor rapat kutipan mata demi mata, namun juara bertahan Asia itu merangkul set pertama pada perlawanan yang berlangsung di Porte de La Chapelle Arena.

Gandingan Malaysia kemudian bangkit untuk menundukkan Wei Keng-Chang dalam set kedua dengan pukulan berbisa mereka.

Bagaimanapun, beregu China itu akhirnya berjaya mengatasi Aaron-Wooi Yik dalam set penentuan yang menyaksikan pertarungan sengit membawa permainan berlanjutan hingga lebih satu jam.

Aaron-Wooi Yik bakal berdepan juara bertahan Lee Yang-Wang Chi Lin dari Taiwan atau pasangan Denmark Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dalam perlawanan penentuan gangsa Ahad ini.

Pada separuh akhir Tokyo 2020,  Aaron-Wooi Yik dikecewakan pasangan China, Li Jun Hui-Liu Yu Chen sebelum mengejutkan bekas juara dunia Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan dari Indonesia untuk membawa pulang gangsa.

Terdahulu, dalam aksi separuh akhir beregu wanita, Pearly Tan-M. Thinaah mengalami kekalahan 12-21, 21-18, 15-21 selepas perlawanan sengit 78 minit menentang pemenang perak edisi lepas Chen Qing Chen-Jia Yi Fan dari China.

Aaron-Wooi Yik muncul naib johan Kumpulan A selepas tewas kepada Wei Keng-Chang 22-24, 14-21 namun mengungguli perlawanan berdepan beregu Great Britain Ben Lane-Sean Vendy, 19-21, 21-16, 21-11 Sabtu lepas diikuti pasangan Kanada Adam Dong-Nyl Yakura 21-10, 21-15 pada Ahad untuk melangkah ke suku akhir. – BERNAMA



Source link

OR

Scroll to Top