Kerajaan memberi jaminan bekalan bahan api negara berada pada tahap mencukupi sehingga Ogos ini manakala stok beras termasuk stok penimbal dianggarkan mampu menampung keperluan negara bagi tempoh antara lima hingga enam bulan.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata bekalan makanan asas lain seperti ayam, telur, ikan, susu dan buah-buahan pula berada pada paras selamat untuk sekurang-kurangnya sebulan.
“Justeru, kerajaan sedang berusaha memastikan bekalan bahan api terus terjamin supaya aktiviti harian rakyat, pengangkutan awam, logistik, perniagaan dan sektor kritikal dapat terus beroperasi.
“Pemantauan harga barangan keperluan mengikut lokasi juga dilaksanakan melalui platform PriceCatcher KPDN yang memantau 316 barangan keperluan di lebih 2,000 premis runcit seluruh negara dengan sokongan 850 pegawai pemantau harga.
“Penguatkuasaan terhadap pencatutan dan penyeludupan turut dipertingkat supaya tekanan global tidak dimanipulasi untuk menaikkan harga secara tidak munasabah,” katanya ketika menyampaikan penerangan mengenai krisis bekalan global di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam perkembangan sama, Akmal berkata kerajaan menjangkakan bekalan minyak mentah global akan kembali stabil secara berperingkat bermula suku ketiga tahun ini, namun proses pemulihan itu masih bergantung kepada perkembangan geopolitik serta kelancaran semula laluan perdagangan antarabangsa.
Menurutnya, ketidaktentuan pasaran tenaga dijangka terus memberi kesan kepada ekonomi global dalam tempoh satu hingga dua tahun akan datang.
“Ketidaktentuan harga serta bekalan tenaga dijangka terus mempengaruhi pasaran dalam jangka masa satu hingga dua tahun lagi.
“Namun, kita tidak akan menunggu sehingga keadaan benar-benar pulih. Sebaliknya, pemantauan dan intervensi akan diteruskan sepanjang tempoh pemulihan ini supaya tekanan kepada rakyat, PMKS dan industri dapat dikurangkan,” katanya.






