Parlimen Iran lulus langkah tutup Selat Hormuz

Parlimen Iran lulus langkah tutup Selat Hormuz


Istanbul: Parlimen Iran meluluskan langkah untuk menutup Selat Hormuz kepada laluan trafik tentera laut susulan serangan Amerika Syarikat (AS) ke atas tiga kemudahan nuklear, kata seorang penggubal undang-undang kanan pada Ahad, lapor Anadolu Ajansi (AA) yang memetik media tempatan.

“Parlimen mencapai kesimpulan bahawa Selat Hormuz perlu ditutup,” kata Mejar Jeneral Esmaeil Kowsari, anggota Suruhanjaya Keselamatan Negara Parlimen, dalam kenyataan yang disiarkan oleh Press TV milik kerajaan.

Selat Hormuz dianggap pintu masuk terpenting dunia untuk pengangkutan minyak.

“Keputusan muktamad mengenai perkara ini terletak pada Majlis Keselamatan Tertinggi Negara,” kata Kowsari.

Majlis Keselamatan Tertinggi Negara adalah pihak berkuasa keselamatan tertinggi di Iran.

Presiden AS Donald Trump pada awal Ahad berkata tenteranya mengebom tiga tapak nuklear Iran di Fordow, Natanz dan Isfahan.

Serangan itu adalah peningkatan terkini dalam serangan tentera Israel yang disokong AS ke atas Iran sejak 13 Jun, yang mendorong Tehran melancarkan serangan balas ke atas Israel.

Dalam pada itu, kemungkinan penutupan Selat Hormuz oleh Iran tidak akan mengecualikan AS daripada kesan yang timbul, malah tiada negara akan terselamat daripada gangguan pasaran minyak global, kata Ketua Eksekutif Dana Pelaburan Terus Rusia (RDIF), Kirill Dmitriev, lapor Sputnik/RIA Novosti.

“Harga minyak ditentukan secara global.

“Jika Selat Hormuz ditutup, Amerika Syarikat juga tidak akan terlepas. Tiada siapa kebal daripada kejutan minyak dunia – harga di pam minyak akan melonjak,” kata Dmitriev menerusi platform X.

Menurut data dagangan, sehingga 11.48 malam Ahad, niaga hadapan minyak Brent mencatat kenaikan 2.45 peratus kepada AS$77.33 setong, susulan peningkatan ketegangan konflik antara Iran dan Israel.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top