Parlimen Israel sokong hukuman mati terhadap 'pengganas', Palestin kecam tindakan zalim

Parlimen Israel sokong hukuman mati terhadap 'pengganas', Palestin kecam tindakan zalim

Parlimen Israel sokong hukuman mati terhadap 'pengganas', Palestin kecam tindakan zalim


Baitulmaqdis: Rang undang-undang yang mencadangkan hukuman mati terhadap “pengganas” diluluskan pada bacaan pertama di Parlimen Israel pada Isnin – langkah yang boleh dikenakan terhadap warga Palestin yang disabitkan kesalahan menyerang dan membunuh rakyat Israel.

Pindaan kepada Kanun Keseksaan itu, yang dituntut oleh Menteri Keselamatan Negara sayap kanan, Itamar Ben Gvir, dan diluluskan oleh Jawatankuasa Keselamatan Negara, diterima dengan 39 undi menyokong dan 16 menentang.

Rang undang-undang itu perlu melalui bacaan kedua dan ketiga sebelum boleh diwartakan sebagai undang-undang.

Pengundian tersebut berlangsung ketika gencatan senjata tegang antara Israel dan Hamas sedang berkuat kuasa dalam perang Gaza yang tercetus pada 7 Oktober 2023.

Walaupun hukuman mati wujud dalam undang-undang Israel bagi beberapa kesalahan tertentu, negara itu secara praktikalnya tidak lagi melaksanakannya, Adolf Eichmann, pelaku Holocaust Nazi, merupakan individu terakhir yang dihukum mati pada tahun 1962.

Ben Gvir sebelum ini mengancam akan menarik keluar parti Jewish Power pimpinannya daripada gabungan kerajaan sekiranya rang undang-undang itu tidak dibentangkan untuk pengundian.

Dalam kenyataan Jawatankuasa Keselamatan yang disertakan bersama penjelasan pindaan itu, dinyatakan bahawa:

“Tujuannya adalah untuk memutuskan akar keganasan dan mewujudkan hukuman berat sebagai langkah pencegahan.”

Kenyataan itu turut menjelaskan:

“Adalah dicadangkan bahawa seorang pengganas yang disabitkan kesalahan membunuh atas motif perkauman atau kebencian terhadap orang awam, serta dalam keadaan yang menunjukkan niat untuk mencederakan Negara Israel… akan dijatuhkan hukuman mati mandatori.”

Gencatan senjata di Gaza mula berkuat kuasa bulan lalu, dan kerajaan Israel kini sedang berbincang dengan Amerika Syarikat serta pihak lain mengenai syarat-syarat untuk melanjutkannya.

Pergerakan Hamas dalam kenyataannya berkata, undang-undang yang dicadangkan itu “mencerminkan wajah fasis sebenar rejim Zionis dan merupakan pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa.”

Kementerian Luar Palestin yang berpangkalan di Ramallah pula menyifatkan langkah itu sebagai “bentuk baharu peningkatan ekstremisme dan jenayah Israel terhadap rakyat Palestin.”

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top