Kontrak Partey bersama Arsenal tamat pada penghujung bulan ini.
THOMAS Partey dilaporkan bersedia meninggalkan Arsenal dan berhijrah ke Barcelona secara percuma selepas kontraknya bersama kelab London itu tamat pada penghujung bulan ini.
Sepanjang musim 2024/2025, pemain tengah Ghana itu memainkan peranan penting dalam skuad kendalian Mikel Arteta dengan aksi konsisten di bahagian tengah.
Arteta turut dikatakan mahu menyambung khidmatnya, namun rundingan lanjutan kontrak tidak mencapai kata sepakat.
Menurut laporan The Mirror, Partey kini cenderung memilih Barcelona selepas menerima panggilan peribadi daripada jurulatih kelab tersebut, Hansi Flick, yang berjaya mempengaruhi keputusannya.
Flick dikatakan tertarik dengan pengalaman serta gaya permainan Partey dan melihatnya sebagai tambahan ideal untuk memperkukuh jentera tengah Barcelona yang ketika ini kekurangan pemain bertahan berkaliber.
Pernah beraksi di La Liga bersama Atlético Madrid, Partey dijangka tidak berdepan masalah untuk menyesuaikan diri sekiranya perpindahan ke Barcelona dimuktamadkan.