am@hmetro.com.my
Shah Alam: Parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH) Selangor menyatakan sokongan penuh tidak berbelah bahagi kepada Datuk Seri Amirudin Shari untuk kekal sebagai Menteri Besar Selangor sehingga tamat penggal pentadbiran.
Menerusi kenyataan bersama Pengerusi DAP Selangor, Ng Sze Han; Pengerusi Amanah Selangor, Datuk Izham Hashim dan Naib Pengerusi PH Selangor, Datuk Borhan Aman Shah menyatakan, ia adalah selaras dengan keperluan agar pentadbiran kerajaan negeri Selangor stabil dan kukuh bagi melaksanakan pelbagai kebijakan serta dasar yang telah direncana.
“Antaranya adalah Rancangan Selangor Kedua; pembangunan pelabuhan ketiga di Pulau Carey, agenda Iltizam Selangor Penyayang; Kompleks Stadium Shah Alam serta pelbagai lagi.
“Kesinambungan kepimpinan utama negeri akan memberi mesej positif kepada pelabur dan komuniti perniagaan di Selangor,” katanya, hari ini.
Ketiga-tiga pimpinan parti komponen PH Selangor itu juga berpandangan kepimpinan Amirudin selaku Pengerusi PH Selangor amat diperlukan bagi memperkukuh kerjasama bersama Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Katanya, pengalaman dan kepimpinan Amirudin adalah kunci kepada kesepaduan yang sudah dibentuk sehingga membawa kepada kemenangan serta pembentukan Kerajaan Perpaduan di Selangor pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu.
“Selaku seorang pentadbir yang berpengalaman, kami juga berpandangan khidmat beliau turut diperlukan di Selangor bagi membantu memastikan negeri ini terus kekal menjadi gedung ekonomi negara sekali gus menjayakan agenda Malaysia MADANI yang digagaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan Amriudin menyifatkan cakap-cakap beliau bakal dilantik sebagai anggota Kabinet dalam pentadbiran Kerajaan sekadar spekulasi semata-mata.
“Insya-Allah saya kekal jadi MB (Menteri Besar),” katanya ketika ditemui media pada majlis penyerahan lesen memandu Program MyLesen B2 Negeri Selangor 2025, di Selayang, hari ini.
Mengenai spekulasi Pilihan Raya Kecil (PRK) mungkin diadakan di Selangor untuk memberi laluan kepada Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dilantik sebagai Menteri Besar baharu, beliau berpandangan ia tidak perlu.
Ini kerana, katanya, tempoh penggal pentadbiran diketuainya hanya berbaki dua tahun setengah sebelum Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan.
tamat
© New Straits Times Press (M) Bhd