Tokyo: Gabungan parti pemerintah Jepun kehilangan majoritinya di Dewan Perwakilan dalam pilihan raya umum pada Ahad, memberikan tekanan kepada Perdana Menteri Shigeru Ishiba untuk mendapatkan sokongan luar bagi membentuk kerajaan yang stabil.
Walaupun berdepan kekalahan, Ishiba menyatakan komitmennya untuk membentuk kerajaan baharu yang diketuai oleh partinya.
Pihak pembangkang yang terdiri daripada kumpulan liberal dan konservatif, turut berdepan cabaran dalam membentuk gabungan kerana perbezaan matlamat dasar, lapor Agensi Berita Kyodo.
Keputusan mengecewakan itu menonjolkan ketidakpercayaan yang semakin meningkat terhadap Parti Demokratik Liberal (LDP) yang memerintah didorong oleh skandal dana politik, menandakan perubahan sokongan sejak ia kembali berkuasa pada 2012.
Ishiba yang kelihatan muram, menyifatkan keputusan itu sebagai “sukar.”
“Kami jauh daripada mendapat kepercayaan rakyat” berikutan skandal dana gelap itu,” kata Ishiba, walaupun beliau tetap optimis untuk meneruskan agenda gabungan berkenaan.
Keputusannya untuk membubarkan Dewan Rendah hanya lapan hari selepas memegang jawatan pada 1 Oktober dan mengadakan pilihan raya ternyata membawa padah.
© New Straits Times Press (M) Bhd