Pas mahu Bersatu bertindak terhadap 5 ADUN

Pas mahu Bersatu bertindak terhadap 5 ADUN


PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) wajar mengambil tindakan terhadap lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang mencetuskan kemelut politik Perlis.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Pas sudah melakukan tindakannya demi mendisiplinkan parti, kini Bersatu wajar melakukan perkara yang sama kepada ADUNnya.

Katanya, Pas sebagai rakan dalam gabungan utama Perikatan Nasional (PN) yakin Bersatu bertindak secara konsisten dan tegas selaras dengan semangat Akta Anti Lompat Parti serta prinsip amanah kepada mandat rakyat.

“Tindakan sedemikian penting sebagai tanda hormat kepada rakan komponen dalam PN serta bagi memastikan disiplin dan keutuhan gabungan terus terpelihara.

“Tindakan ini berdasarkan kepada perbandingan kepada masalah di Nenggiri sebelum ini.

“Bersatu ketika itu telah menghentikan keahlian ADUN Nenggiri kerana menyokong PMX sehingga membuka ruang kepada Pilihan Raya Kecil (PRK), sedangkan tindakan berkenaan berlaku tanpa melibatkan SD.

“Berbanding dengan Nenggiri, apa yang berlaku di Perlis jauh lebih serius. Ia memberi kesan langsung kepada keutuhan kerajaan PN,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Politik Perlis bergolak ekoran lapan ADUN PN termasuk lima daripada Bersatu menandatangani akuan bersumpah untuk menarik sokongan terhadap kepimpinan Mohd. Shukri Ramli sebagai Menteri Besar.

Menurut Tuan Ibrahim, Pas telah mengambil tindakan tegas terhadap tiga ADUN kerana parti tidak bersedia berkompromi dalam soal disiplin jemaah.

“Walaupun keputusan ini mungkin membawa risiko terhadap kestabilan kerajaan Perlis, Pas berpandangan bahawa prinsip dan integriti parti mesti diutamakan mengatasi kepentingan jangka pendek,” katanya.

Beliau kemudian menyeru seluruh ahli dan penyokong Pas agar kekal tenang, berdisiplin serta tidak mudah terpengaruh dengan provokasi yang hanya menguntungkan pihak lawan.





Source link

OR

Scroll to Top