Pas optimis tawan Pahang pada PRU-16 – Roslan

Pas optimis tawan Pahang pada PRU-16 – Roslan


JERANTUT – Pas optimis dapat menawan Pahang pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang susulan kehadiran ramai perwakilan parti ke negeri itu pada Muktamar Tahunan kali ke-70 yang diadakan  di sini  kali ini.

Perwakilan Pahang, Roslan Md Esa berkata, tema ‘Pas Teraju Pahang’ dan ‘Kesatuan Asas Kekuatan’  memberi satu ketumbukan kepada pihaknya untuk menggembleng tenaga  memastikan Hasrat yang diimpikan tercapai.

“Sudah tentu bila tuan-tuan (perwakilan) datang ke negeri Pahang ini, tuan-tuan akan lebih mengenali orang Pahang.

“Saya yakin dan percaya dengan adanya muktamar kali ini, ia memberi satu ketumbukan dan semangat kepada kami di Pahang untuk kali ini (PRU-16) Pas akan terajui Pahang,” katanya berucap pada Muktamar Dewan Ulama Pas di Kompleks Imam Syafie (KIAS), Kampung Temin  hari ini.

Menurut Roslan, Pas Pahang melihat tiga perkara yang dikira sangat penting untuk mencapai matlamat tersebut.

Pertama, kesatuan politik dalam menerajui kesatuan ummah perlu dititikberatkan selain perlu berpaksikan kepada keintelektualan dan ilmu pengetahuan dalam memartabatkan institusi pendidikan Islam.

“Ada di kawasan kita ini, di peringkat kepimpinan tidak memanfaatkan sehabis baik pusat pendidikan, pengajian yang wujud. Kita kena ambil ini sebagai peluang untuk menguatkan Pas di kawasan kita,” ujarnya.

Dalam pada itu, Roslan membuat empat kesimpulan iaitu kesatuan ummah mesti mengepikan perselisihan sesama umat Islam yang merupakan kunci utama kekuatan ummah yang mesti digarapkan dan dipegang sepanjang perjuangan.

Katanya, kesatuan ummah juga mesti meleburkan sikap taksub dalam masyarakat Islam.

“Ketiga, konsep persaudaraan yang berteraskan ikatan rabbani menjadi asas yang efektif kepada perpaduan Islam dan keempat, jauhi sifat prasangka kerana akibatnya sangat buruk sehingga menjadi bibit fitnah,” katanya. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top