September 8, 2024

Pas pertimbangan saman isu ‘homoseksual’ terhadap PM

Pas pertimbangan saman isu ‘homoseksual’ terhadap PM


KUALA LUMPUR – Pas akan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu tidak bertanggungjawab memotong video ucapan Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Pengarah Jabatan Penerangan Pas Pusat, Nadzir Helmi berkata, penyebaran video berniat jahat itu sengaja untuk membangkit isu ‘homoseksual’ terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Video potongan pendek tersebut dengan sengaja dan berniat jahat ditular dan diulas luar daripada konteks keseluruhan ucapan yang disampaikan di salah sebuah Ceramah Umum yang disampaikan ketika berlangsungnya Pilihan Raya Kecil Kuala Kubu Baharu tempoh hari.

“Pas telah meneliti keseluruhan kandungan ucapan yang hanya mengulangi apa yang disebut oleh Ketua Pembangkang berkenaan pembelaan beliau kepada Perdana Menteri yang dimalukan oleh sebuah portal antarabangsa iaitu Agenzia Nova yang masih tidak dikeluarkan daripada kandungannya (namun kini tidak boleh diakses daripada IP Malaysia) di laman sesawangnya,” jelas Nadzir.

Terdahulu tersebar video ringkas di TikTok yang menunjukkan Takiyudin mendakwa Anwar sebagai pengamal homoseksual.

Nadzir berkata, penelitian mereka mendapati Takiyudin hanya mengulangi apa yang disebut oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkenaan ‘pembelaan’ terhadap Anwar akibat dakwaan portal Itali Agenzia Nova.

“Ketahuilah ulasan yang disampaikan adalah berbentuk persoalan apabila pihak PMX (Anwar) belum lagi mengambil sebarang tindakan sedangkan nama baik seorang Perdana Menteri wajar dibersihkan jika ia adalah sebuah fitnah yang nyata. 

“Itulah kandungan sebenar dalam ucapan penuh tanpa disunting dan ternyata ia amat berbeza dengan fitnah yang sedang berlegar seolah pemimpin Pas membuat kenyataan berkenaan tabiat seksual yang ternyata dilarang dalam Islam,” katanya.

Pada Disember 2022, Anwar menyindir Hamzah sebagai belum mendapat tarbiah (didikan) daripada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top