PAS sedia sokong BN jika tiada gabungan peroleh majoriti – Mahfodz

PAS sedia sokong BN jika tiada gabungan peroleh majoriti – Mahfodz


am@hmetro.com.my

Johor Bahru: PAS Johor bersedia memberi sokongan kepada Barisan Nasional (BN) untuk membentuk kerajaan negeri sekiranya tiada gabungan memperoleh majoriti mudah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Pesuruhjaya PAS Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamed, berkata, langkah itu dibuat demi menjamin kestabilan politik, bukan untuk mendapatkan jawatan dalam pentadbiran.

Beliau berkata, pendirian itu selaras dengan seruan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, supaya sebuah kerajaan yang stabil dapat dibentuk sekiranya keputusan PRN menghasilkan Dewan Undangan Negeri (DUN) tergantung.

“Penyokong PAS turut diarahkan memberi sokongan kepada calon BN di kawasan yang tidak ditandingi parti itu atau Perikatan Nasional (PN) demi memastikan kepimpinan negeri terus stabil.

“Arahan itu bukan bertujuan mendapatkan jawatan atau imbuhan politik, sebaliknya bagi memastikan Johor terus ditadbir secara stabil dan bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, Mahfodz menggesa pemimpin UMNO Johor supaya tidak bersikap angkuh terhadap tawaran kerjasama yang disifatkannya sebagai ikhlas daripada PAS.

Katanya, jika BN gagal memperoleh kerusi mencukupi untuk membentuk kerajaan, PAS dan PN bersedia mengambil pendekatan matang demi menjamin kestabilan negeri, kesejahteraan rakyat serta kesinambungan pentadbiran Johor.

“Kesediaan kami untuk bekerjasama tidak wajar ditafsirkan sebagai tanda kelemahan. PAS juga tidak meminta untuk menjadi sebahagian daripada kerajaan,” katanya.

Mahfodz menegaskan, PAS akan terus mengutamakan kepentingan Johor mengatasi kepentingan politik kepartian.

“Pendirian kami jelas. Kestabilan Johor, kebajikan rakyat dan masa depan negeri perlu didahulukan daripada ego politik serta kepentingan sempit parti.

“Itulah semangat yang dibawa menerusi kempen ‘Jom Jaga Johor’,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top