Pas terancam pelbagai agenda suburkan Islam bawah Kerajaan Perpaduan

Pas terancam pelbagai agenda suburkan Islam bawah Kerajaan Perpaduan


PUTRAJAYA: Pas dilihat semakin gusar dan bimbang dengan kejayaan Kerajaan Perpaduan terus menyuburkan Islam di negara ini sekali gus memberi ancaman terhadap naratif ‘Islam terancam’ yang dibawa parti itu untuk memberi imej negatif kepada kerajaan.

Penasihat Agama kepada Timbalan Perdana Menteri, Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, modal terbaharu menggunakan isu halal bagi mengukuhkan naratif itu pada Muktamar Pas ketika ini semata-mata bagi menggambarkan kononnya bukan Islam ‘naik kepala’ kerana pemimpin lemah Kerajaan Perpaduan.

Sedangkan, katanya, isu itu sedang ditangani kerajan, malah ucapan Teresa Kok berkaitan isu halal itu sedang disiasat pihak berkuasa melibatkan isu 3R (raja, kaum, agama).

“Malaysia sangat kehadapan dalam isu halal, malah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sendiri mempengerusikan jawatankuasa Kabinet untuk isu persijilan halal.

“Permohonan sijil halal akan diproses dalam tempoh 23 hari bekerja sebagai satu pembaharuan dalam aspek teknikal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairuddin berkata, Islam subur dengan pelbagai lagi agenda baharu pendidikan Islam seperti pratahfiz di lebih 10,000 tadika KEMAS seluruh negara selepas kejayaan pelaksanaannya di 4,145 tadika itu melibatkan 62,172 pelajar.

Katanya, ia digerakkan Ahmad Zahid dengan sasaran 140,000 huffaz cilik pada 2026.

Selain itu, kesemua 57 buah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) melibatkan 37,000 pelajar beraliran sains diarahkan untuk menggunakan sistem integrasi sains dan tahfiz yang dikenali sebagai Ulul Albab bagi melahirkan profesional huffaz.

“Sambutan Himpunan 24K Huffaz pada esok juga adalah syiar kepada Dasar Pendidikan Tahfiz Negara 2.0 yang dilancarkan pelan tindakannya tahun lepas.

“Ucapan dasar Presiden UMNO menegaskan kepentingan Islah dalam pendidikan bagi melahirkan generasi Rabbani yang berakhlak karimah, menjadi Qudwah Hasanah dan mengangkat Izzah Malaysia sebagai negara Islam.

“Untuk itu akan diperluaskan cadangan sukatan integrasi Tahfiz Ulul Albab ke sekolah rendah dan menengah agama bantuan kerajaan,” katanya.

Katanya, peruntukan untuk Sekolah Agama Rakyat (SAR) dikembalikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim setelah sekian lama ‘dikuburkan’ oleh penasihat SG4 Perikatan Nasional, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang sedang diagongkan oleh Presiden dan penyokong Pas sekarang.

Di mata dunia pula, Malaysia di bawah kepimpinan Anwar menjuarai isu Palestin di pentas antarabangsa sepertimana ucapan tegas beliau ketika sepentas dengan Presiden Rusia dan China.

“Segala komitmen Islam Anwar dalam Kerajaan Perpaduan turut diperakui oleh tokoh-tokoh ulama dunia termasuk Syeikh Al-Azhar, Prof. Dr Ahmad Tayyib dan Syeikh Prof. Dr Ali Qaradaghi, Pengerusi Kesatuan Ulama Islam Sedunia.

“Semua agenda Islam dan umat ini memencilkan Pas di persada perjuangan Islam yang dilaung-laungkan sebagai slogan kosong.

“Ini semua mendesak Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang terpaksa berucap sepertimana ucapan-ucapan sebelumnya dalam Muktamar Pas yang banyak beretorik berbanding gerak kerja yang signifikan untuk umat Islam di Malaysia dan antarabangsa,” katanya. – UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top