am@hmetro.com.my
Kuala Nerus: Pasangan kembar antara 1,015 pelajar baharu yang melanjutkan pengajian di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bagi kemasukan sesi 2024/2025.
Nayli Ulya Mohd Shafie, 18, dari Kuala Terengganu mengikuti program Diploma Sains Komputer, Fakulti Informatik Komputer (FIK) di Kampus Besut.
Manakala adiknya, Nayli Uzma pula ditempatkan di Kampus Gong Badak dalam program Diploma Teknologi Pembuatan, Fakulti Reka Bentuk Inovatif dan Teknologi (FRIT).
Nayli Ulya berkata, meskipun dia dan pasangan kembarnya akan terpisah kerana berbeza program pengajian dan kampus, ia tidak menjadi masalah.
“Kami bersyukur kerana berpeluang menyambung pengajian peringkat diploma dalam bidang yang kami inginkan walaupun terpaksa berpisah kerana kampus berbeza.
“Bukan selamanya akan dapat tinggal bersama dan apabila tiba masanya, kami perlu berpisah untuk mengejar impian masing-masing,” katanya.
Nayli Ulya berkata demikian ketika ditemui di Majlis Pendaftaran Pelajar Baharu Asasi dan Diploma Sesi Akademik 2024/2025 di pekarangan foyer Kolej Kediaman UniSZA, di sini, hari ini.
Menurutnya, dua beradik itu mengikut jejak ibu mereka, Norhazlim Md Razali yang juga Alumni KUSZA (UniSZA) dan bertugas sebagai seorang guru Bahasa Arab.
Katanya, peluang yang diterima tidak akan disia-siakan dalam memburu kejayaan dan berazam untuk membuat yang terbaik.
Terdahulu, seramai 1,015 pelajar baharu asasi dan diploma mendaftar di UniSZA. Mereka akan menjalani Minggu Mesra Siswa (MMS) selama lima hari bermula hari ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd