Pasaran getah diniaga dalam julat kecil

Pasaran getah diniaga dalam julat kecil


KUALA LUMPUR – Pasaran getah tempatan dijangka menyaksikan dagangan dalam julat kecil pada minggu depan, di tengah-tengah aktiviti menambah stok simpanan mengimbangi harga, permintaan suram serta sentimen yang tidak menentu.

Pakar industri Denis Low berkata, di sebalik persekitaran kekurangan bekalan dan faktor hujan di beberapa kawasan pengeluar getah, harga getah pada minggu lepas menunjukkan berlakunya aktiviti menambah stok simpanan yang rendah selain minat yang terbatas bagi pembelian getah.

“Peniaga dan pengguna juga berhati-hati mengenai Monsun Timur Laut yang dijangka berlaku pada November hingga Januari 2025.

“Sekiranya kita mengambil maklum mengenai corak perubahan iklim semasa, (jangkaan) apa yang berlaku akibat cuaca itu pasti membimbangkan,” katanya kepada Bernama.

Low berkata, kekurangan permintaan dan harga tidak stabil itu disebabkan terutamanya oleh ketidaktentuan risiko geopolitik serta kadar pertukaran mata wang.

Keadaan yang tidak menentu itu berkemungkinan menjejaskan harga minyak dan gas, melonjakkan harga komoditi tertentu yang melangkaui jangkaan awal, katanya.

“Walaupun dolar Amerika Syarikat (AS) kekal tidak menentu di tengah-tengah usaha mengurangkan kebergantungan terhadap mata wang negara itu, penggunaannya bagi jangka panjang dianggap lebih stabil berbanding mata wang lain,” katanya.

Sementara itu, Pertubuhan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) menjangkakan harga pasaran getah tempatan akan terus menjejaki pasaran niaga hadapan komoditi itu serta pergerakannya yang hanya mengekalkan prospek bercampur-campur.

Menurutnya, meskipun ringgit susut dan potensi rangsangan ekonomi China mungkin memberi sokongan ke atas harga, namun faktor seperti pasaran niaga hadapan serantau getah yang lemah, penurunan harga minyak dan ketegangan antara China dan Kesatuan Eropah dilihat mampu memberi tekanan.

Keadaan ini akan diburukkan lagi dengan ancaman hujan lebat serta banjir dalam bulan-bulan akan datang, katanya.

Dalam ada itu, bagi asas perbandingan Jumaat hingga Jumaat, harga rujukan Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi Getah Mutu Malaysia SMR 20 susut sebanyak 2.5 sen kepada 860.0 sen sekilogram manakala lateks pukal naik 18.5 sen kepada 731.5 sen.

Pada 5 petang Jumaat, SMR 20 berada pada 862.5 sen sekilogram manakala lateks pukal pada 726.5 sen sekilogram. – AFP



Source link

OR

Scroll to Top