Singapura: Singapura sekali lagi dinobatkan sebagai negara dengan pasport paling berkuasa di dunia, menurut Indeks Pasport Henley terkini. Senarai itu diumumkan bulan lalu.
Portal CNBC melaporkan negara kecil di Asia Tenggara itu mengekalkan kedudukan teratas selepas berjaya memecahkan kedudukan seri bersama enam negara lain pada awal tahun ini.
Pada 2024, Singapura berkongsi kedudukan pertama bersama Jepun, Jerman, Itali, Sepanyol dan Perancis.
Namun dalam senarai terbaharu, Jepun dan Korea Selatan kini berkongsi tempat kedua, manakala negara-negara lain yang sebelum ini mendahului carta jatuh ke kedudukan ketiga bersama Denmark, Finland dan Ireland.
Bagaimana senarai ini disusun?
Indeks Pasport Henley antara penarafan pasport paling berpengaruh di dunia, dengan menilai kekuatan sesebuah pasport berdasarkan satu kriteria utama – jumlah destinasi yang boleh dilawati tanpa memerlukan visa.
Penarafan ini disusun menggunakan data daripada Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA), menurut Henley & Partners.
Tidak seperti Indeks Pasport Nomad yang menilai pasport berdasarkan lima faktor termasuk cukai dan status kewarganegaraan global, indeks Henley lebih memfokuskan kepada kemudahan perjalanan.
Kedudukan pasport Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) terus merosot
Dalam laporan sama, pasport AS jatuh ke tangga ke-10 daripada tangga kesembilan sebelum ini.
Pasport UK turut mengalami kejatuhan ke kedudukan keenam daripada tempat kelima.
Menurut Henley & Partners, ini adalah sebahagian daripada ‘trend menurun jangka panjang’ untuk kedua-dua negara yang suatu ketika dahulu pernah mendominasi carta pasport paling berkuasa di dunia.
“Malah, AS kini hampir tersingkir dari kelompok 10 teratas buat kali pertama sejak indeks ini diperkenalkan 20 tahun lalu,” menurut kenyataan firma itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd