Pasport terbang: 4 lagi pegawai penguat kuasa dicekup, disyaki terima suapan RM3,000

Pasport terbang: 4 lagi pegawai penguat kuasa dicekup, disyaki terima suapan RM3,000


harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Empat pegawai penguat kuasa ditahan hari ini kerana disyaki menerima suapan berjumlah RM3,000 semasa bertugas di kaunter penyeliaan zon masuk motor, sempadan Johor-Singapura.

Menurut sumber, kesemua suspek lelaki berusia 20-an hingga 40-an ditahan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor.

“Dua suspek utama ditahan oleh Unit Pematuhan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) semasa pemeriksaan dilakukan di kaunter semalam dan kemudiannya diserahkan kepada SPRM.

“Susulan penahanan itu, dua lagi pegawai penguat kuasa ditahan kerana disyaki bersubahat dalam kegiatan pasport terbang ini,” katanya hari ini.

Sumber berkata, sebanyak 14 pasport milik warga asing dan empat telefon bimbit kepunyaan dua suspek utama dirampas bersama wang tunai disyaki hasil rasuah berjumlah RM2,800 ditemui ketika pemeriksaan.

“Siasatan awal mendapati wang tunai dan telefon bimbit yang ditemui mempunyai kaitan dengan transaksi rasuah membabitkan kegiatan pasport terbang.

“Bagi setiap satu pasport yang dicop tanpa kehadiran pemilik pasport, kesemua suspek akan menerima wang rasuah bernilai kira-kira RM200,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Operasi SPRM Johor, Hairul Ilham Hamzah ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Katanya, kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Johor Bahru, esok untuk permohonan reman.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top