am@hmetro.com.my
FESTIVAL muzik alternatif terbesar tahun ini, Aku, Muzik & Kamu (AMK) – Indie 2025, bakal menghimpunkan 20 band tempatan menerusi persembahan dua hari berturut-turut di Litar Antarabangsa Sepang pada 26 dan 27 Julai ini.
Festival anjuran Asia Empire Record dengan kerjasama Coaction Events dan Westzone Entertainment, mengetengahkan tema 20 Band. 2 Hari. 1 Jiwa INI menampilkan gabungan nama-nama legenda serta bakat baharu dalam dunia muzik indie dan alternatif tanah air.
Antaranya SYJ, Cromok, Meet Uncle Hussain, Butterfingers, Hujan, SOG, One Buck Short, Midnight Fusic dan banyak lagi yang menampilkan keseimbangan antara nostalgia dan pembaharuan dalam muzik alternatif tempatan.
Apa yang menarik, festival AMK – Indie 2025 bukan sekadar bilangan kumpulan yang ditampilkan, tetapi juga nilai dan makna di sebalik pemilihan mereka yang membawa wakil kepada satu zaman, satu detik atau satu emosi yang sukar ditiru ‘trend’ masa kini.
Lebih daripada sekadar festival hiburan, malah tampil sebagai sebuah pernyataan budaya dan perayaan identiti yang menjadi nadi baharu dalam menghidupkan semula muzik alternatif Malaysia yang pernah membentuk jiwa generasi terdahulu.
Setiap band yang dipilih membawa naratif tersendiri dalam sejarah muzik tempatan kerana pernah menjadi suara generasi hingga ke kumpulan yang kini mewakili gelombang baharu dunia muzik alternatif.
Dalam landskap hiburan yang sering mengangkat nama antarabangsa, penganjur tampil berani menampilkan sepenuhnya barisan artis tempatan sebagai usaha memperkukuh keyakinan terhadap bakat muzik tanah air.
Keputusan ini bukan satu kompromi, sebaliknya penegasan bahawa muzik Malaysia memiliki kualiti dan jiwa tersendiri yang tidak kalah hebatnya untuk bersaing di pentas lebih besar.
Selain mempersembahkan barisan pemuzik tempatan, AMK Indie 2025 turut menyediakan pelbagai zon pengalaman termasuk ruang makanan, rehat serta aktiviti komuniti yang menjadikan festival ini lebih daripada sekadar konsert biasa.
Pemilihan Litar Antarabangsa Sepang bukanlah keputusan rawak, sebaliknya simbol keterbukaan dan kebebasan, menawarkan ruang terbuka bertaraf dunia untuk ribuan anak muda menikmati muzik dalam suasana festival berskala besar.
Dengan kapasiti mencecah 30,000 orang serta pelbagai zon khas merangkumi persembahan muzik dan makanan, festival berkenaan tampil sebagai medan komuniti yang menyatukan peminat muzik pelbagai latar dan generasi.
Dalam pada itu, pengalaman fizikal seperti ini menjadi semakin bernilai kerana ia bukan saja menghidupkan muzik secara langsung, tetapi turut menyemarakkan semangat solidariti dan cinta terhadap budaya tempatan.
AMK – Indie 2025 bukan sekadar acara hiburan, tetapi manifestasi cinta terhadap muzik tempatan, semangat DIY dan keyakinan bahawa budaya kita masih relevan, berdaya saing dan penuh nilai, menjadikannya antara festival paling inklusif dan dinanti tahun ini.
Maklumat mengenai tiket boleh layari www.shop.ilassotickets.com.my. Festival ini juga dicalonkan sebagai Acara Dalam Negeri Terbaik Johor pada 2023.
© New Straits Times Press (M) Bhd