Pasukan Israel 'ugut' bekas pelumba bayar ganti rugi RM147 juta

Pasukan Israel 'ugut' bekas pelumba bayar ganti rugi RM147 juta


Paris: Pelumba basikal Kanada, Derek Gee, mendakwa bekas pasukannya, Israel Premier-Tech, menuntut ganti rugi berjumlah jutaan euro daripadanya selepas dia meninggalkan pasukan itu atas alasan ‘pendirian kepercayaan peribadi’.

Gee, yang menamatkan saingan di tempat keempat pada Giro d’Italia awal tahun ini, meninggalkan pasukan Israel PT yang menjadi sasaran penunjuk perasaan pro-Palestin dalam beberapa perlumbaan kebelakangan ini, sebelum saingan Vuelta a Espana bermula pada Ogos lalu.

Kini dia mendakwa pasukan yang dimiliki oleh billionaire Israel-Kanada, Sylvan Adams, yang menggelar dirinya sebagai duta tidak rasmi Israel dan negara itu telah dua tahun berperang dengan kumpulan pejuang Palestin, Hamas, di Gaza, menuntut ganti rugi kira-kira 30 juta euro (RM147 juta) daripadanya.

“Saya menamatkan kontrak dengan sebab yang sah, sebagaimana hak setiap individu apabila mereka tidak lagi mampu meneruskan kerja dalam keadaan sedia ada,” kata Gee dalam satu kenyataan yang dimuat naik di media sosial.

“Keputusan ini bukan dibuat secara terburu-buru. Ia berpunca daripada hubungan yang tidak lagi dapat diperbaiki dengan pengurus pasukan, serta kebimbangan serius berkaitan keselamatan dan prinsip kepercayaan peribadi ketika berlumba untuk pasukan itu,” katanya lagi.

Tidak jelas daripada kenyataan Gee bagaimana pasukan berkenaan mengemukakan tuntutan ganti rugi, namun dia berkata kes itu kini berada di bawah pertimbangan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) dan bukan tribunal pekerjaan.

Gee juga tidak memperincikan apakah ‘kepercayaan peribadi’ yang dimaksudkannya.

Kerajaan Sepanyol sebelum ini menggesa agar Israel Premier-Tech disingkirkan daripada perlumbaan Vuelta, malah menyeru agar Israel dilarang menyertai acara sukan antarabangsa berikutan apa yang mereka sifatkan sebagai tindakan ‘pembunuhan beramai-ramai’ di Gaza.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top