Saingan Liga-M yang bakal membuka tirai Ogos ini dijangka lebih menarik dan kompetitif meskipun tanpa penyertaan kelab ternama seperti Sri Pahang FC, Perak FC dan Kedah Darul Aman FC. Foto Bernama
PEMERHATI bola sepak tempatan, Dr Zulakbal Abd Karim percaya saingan Liga Malaysia (Liga-M) yang akan membuka tirai pada Ogos ini dijangka lebih menarik dengan kebangkitan kelab-kelab yang sebelum ini kurang diberi perhatian.
Beliau berkata, ketiadaan kelab Sri Pahang FC, Perak FC dan Kedah Darul Aman FC musim ini dilihat tidak akan merencatkan kemeriahan Liga-M apabila pasukan seperti Negeri Sembilan FC, Kuching City FC dan Penang FC dilihat serius dalam mempersiapkan skuad masing-masing.
Malah, kehadiran semula kelab dari Brunei, DPMM FC, dan juara AFL A1, Melaka FC, juga dilihat mampu menambah saingan kepada kelab-kelab utama seperti Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor FC, Sabah FC, Terengganu FC dan Kuala Lumpur City FC.
“Nampaknya Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) berusaha sedaya mungkin memastikan hanya pasukan yang benar-benar bersedia dari segi pengurusan dan daya saing diberikan ruang.
“Seperti kata pepatah Inggeris, only the strong can survive, dan kelab-kelab ini telah bermati-matian untuk kekal. Jadi mereka pasti bermati-matian juga untuk jadi pencabar utama,” katanya.
Zulakbal, yang juga Tenaga Pengajar Elit Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) berkata, prestasi semasa skuad kebangsaan turut menjadi faktor yang mampu menyuntik semangat baharu kepada Liga-M.
Menurutnya, kemenangan besar Harimau Malaya ke atas Vietnam 4-0 dalam Kelayakan Piala Dunia 2026 telah menaikkan kembali minat penyokong terhadap bola sepak tempatan.
“Kejayaan itu membuktikan potensi sebenar pemain baharu skuad negara, dan ia terbukti apabila lebih 60,000 penyokong membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil.
“Jadi tidak mustahil peminat akan kembali memenuhi stadium Liga-M pula untuk melihat aksi pemain-pemain ini di peringkat kelab sebelum mereka dipanggil mewakili Harimau Malaya,” katanya.