Toulouse, Perancis: Pihak hospital di sini terpaksa memanggil pasukan pemusnah bom untuk membantu pihaknya ‘mengeluarkan’ sebutir peluru artileri tersangkut di rektum seorang lelaki.
Seorang kakitangan hospital yang enggan dikenali mengesahkan laporan itu seperti disiarkan akhbar tempatan La Dépêche du Midi.
“Mereka (pasukan perubatan) menemuinya dan kemudian memanggil pasukan pemusnah bom,” kata kakitangan hospital itu.
Pesakit berkenaan dimasukkan ke hospital sejak malam Sabtu hingga hari ini.
Memetik laporan akhbar berkenaan, lelaki terbabit memberitahu kakitangan Hospital Rangueil objek itu dimasukkannya sendiri ke dalam rektumnya.
Pasukan di bilik pembedahan mendapati mereka perlu mengeluarkan sebutir peluru lama sepanjang hampir 20 sentimeter (cm).
Pasukan pemusnah bom dipanggil berikutan kebimbangan mengenai risiko letupan.
Perkhidmatan kecemasan di Haute-Garonne berkata anggota bomba turut dikerahkan bagi memastikan perlindungan kebakaran semasa pembabitan pasukan pemusnah bom.
“Satu peranti letupan berjaya dineutralkan,” tambah mereka, tanpa memberikan butiran lanjut.
Sementara itu, jurucakap perkhidmatan bomba dan pihak hospital tempatan masing-masing memberitahu AFP bahawa mereka tidak mempunyai maklumat tambahan mengenai kejadian itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd






