Pasukan ranking ke-72 dunia uji Harimau Malaya

Pasukan ranking ke-72 dunia uji Harimau Malaya


Skuad negara akan menentang Cape Verde dalam aksi persahabatan pada 29 Mei dan 3 Jun.

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan skuad Harimau Malaya kendalian Peter Cklamovski bakal berdepan Cape Verde dalam aksi Perlawanan Antarabangsa Tier 1 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada 29 Mei ini.

Pasukan ranking ke-72 dunia itu turut dijadual bertemu Harimau Malaya yang berada di ranking ke-131 dunia sekali lagi dalam aksi perlawanan latihan secara tertutup tanpa penonton di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 3 Jun.

Dua aksi persahabatan ini merupakan sebahagian persiapan skuad negara menjelang pertembungan penting menentang Vietnam dalam aksi kedua Kumpulan F Pusingan Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 Arab Saudi yang turut berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 10 Jun.

Perlawanan menentang Cape Verde, sebuah pasukan Afrika yang berada jauh lebih tinggi dalam ranking dunia dilihat sebagai medan terbaik untuk menguji kekuatan sebenar skuad negara selain memberi pendedahan berharga kepada barisan pemain menghadapi tekanan dan intensiti tinggi.

Pada aksi pembukaan kumpulan pada 25 Mac lalu, Malaysia mencatat kemenangan 2-0 ke atas Nepal di Stadium Sultan Ibrahim, manakala Vietnam menewaskan Laos 5-0 di Stadium Binh Duong.

Untuk rekod, kali terakhir Harimau Malaya menentang Vietnam ialah pada aksi kumpulan Piala AFF 2022 menyaksikan skuad negara tewas 0-3 di Stadium My Dinh, Hanoi.

Orang ramai boleh mendapatkan tiket untuk menyaksikan aksi menentang Cape Verde dan Vietnam menerusi pembelian dalam talian bermula Isnin ini.

Untuk perlawanan Tier 1 menentang Cape Verde, tiket Terbuka dijual pada harga RM40 manakala tiket kanak-kanak (6 hingga 12 tahun) berharga RM5.

Sementara itu, tiket bagi aksi menentang Vietnam pula ditawarkan pada harga RM40 (Terbuka), RM60 (Grandstand), RM70 (Premium) dan RM5 (Kanak-kanak).

Kesemua tiket hanya dijual secara dalam talian hingga ke hari perlawanan. Tiada penjualan tiket fizikal di stadium bagi kedua-dua perlawanan.



Source link

OR

Scroll to Top