Naib juara program realiti Mentor 7, Pasya atau nama sebenarnya Faizul Ashraff Fauzi, kembali menghangatkan industri muzik tempatan dengan single terbaharu berjudul Aku Bukan Cinta adalah sebuah lagu balada emosional yang penuh perasaan dan dekat dengan realiti kehidupan.
Diterbitkan di bawah label Seventeen Eleven Music, lagu ini merupakan hasil ciptaan dua komposer tersohor, Ikhwan Fatanna dan Wan Saleh. Manakala,liriknya ditulis sepenuhnya oleh Ikhwan Fatanna yang juga pemenang Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39).
Menurut Pasya, Aku Bukan Cinta bukan sekadar kisah duka putus cinta, sebaliknya membawa mesej keberanian dan kekuatan untuk melepaskan sesuatu yang tidak lagi membawa bahagia.
“Single Aku Bukan Cinta adalah sebuah lagu balada yang cukup emosional, membawa kisah tentang luka dalam sebuah hubungan apabila cinta tidak dihargai.
“Ia bukan sekadar sebuah lagu putus cinta, tetapi juga kisah mengenai kekuatan untuk melepaskan sesuatu yang tidak lagi memberi bahagia,” katanya.
Tambahnya lagi, kali pertama mendengar demo lagu tersebut, dia terus jatuh hati kerana melodinya yang kuat dan liriknya yang menyentuh jiwa.
“Pertama kali saya mendengar demo lagu ini, saya terus jatuh hati kerana melodinya sangat kuat dan liriknya begitu dekat dengan realiti kehidupan.
“Saya percaya ramai yang pernah melalui pengalaman seperti dalam lagu ini, jadi saya rasa ia ada ‘jiwa’ yang mampu menyentuh hati pendengar,” jelasnya.
Berkongsi mengenai proses rakaman pula, Pasya mengakui cabaran utama adalah menyelami setiap bait lirik lagu tersebut.
“Saya mahu setiap perkataan dan nada disampaikan dengan perasaan sebenar, supaya pendengar dapat merasai kejujuran itu,” kongsinya.
Menyifatkan ini adalah pengalaman berharga, Pasya mengakui berasa bertuah apabila dapat berkerjasama bersama Ikhwan Fatanna dan Wan Saleh terutama dalam memperkukuh perjalanan seninya.
“Ikhwan menulis lirik yang puitis tapi mudah difahami, manakala Wan Saleh memberi sentuhan muzik yang moden dan segar.
“Saya rasa bertuah dapat bekerja dengan mereka,”ujarnya.
Justeru, Pasya berharap single Aku Bukan Cinta menjadi peneman buat mereka yang sedang berjuang melepaskan kenangan lalu.
“Kalau lagu ini dapat memberi semangat kepada mereka yang pernah terluka dalam cinta, itu sudah cukup bermakna buat saya. Lagu ini menandakan fasa baharu yang lebih matang dalam karier seni saya,” katanya.





