am@hmetro.com.my
Cyberjaya: Pelbagai cubaan dilakukan pendatang asing tanpa izin (Pati) bagi mengelak ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) pada serbuan di sebuah tapak pembinaan di sini, hari ini, termasuk bersembunyi di atas bangunan, melarikan diri serta cuba memanjat pagar untuk keluar daripada tapak pembinaan.
Bagaimanapun, semua taktik itu gagal dan hasilnya, 129 daripada 223 warga asing yang diperiksa ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Timbalan Ketua Pengarah Operasi Imigresen Jafri Embo Taha berkata, kesemua yang ditahan berusia 25 hingga 56 tahun dengan operasi sama dijalankan serentak di seluruh negara membabitkan 16 lokasi bertujuan mengingatkan serta memastikan majikan menggaji pekerja asing yang sah.
“Antara kesalahan dilakukan warga asing ini ialah tinggal lebih masa, tiada dokumen sah serta salah guna kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR),” katanya kepada media pada ketika menyertai operasi berkenaan.
Operasi bermula 10 pagi tadi dan disertai 81 anggota JIM Putrajaya.
Jafri berkata, Imigresen juga akan mengambil tindakan terhadap majikan yang menggaji serta melindungi warga asing terbabit.
Kata Jafri, bermula Mei ini, Imigresen akan melaksanakan operasi bersasar secara serentak di seluruh negara bagi menangani masalah warga asing.
“Bermula awal Januari sehingga semalam, Imigresen menahan 30,993 warga asing dan 634 majikan membabitkan pelbagai kesalahan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd