am@hmetro.com.my
Ayer Keroh: Kepakaran Pasukan Pengaman Malaysia (MALBATT) yang terbukti berpengalaman di Lubnan tidak akan terhenti setakat itu, sebaliknya sedia digerakkan ke Gaza sekiranya diperlukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, ketika ini Angkatan Tentera Malaysia (ATM) masih menunggu kebenaran daripada PBB sebelum mengatur gerak pasukan ke wilayah bergolak itu.
Beliau berkata, sebelum ini Malaysia sudah pun menyatakan komitmen serta pandangan melalui Majlis Keselamatan PBB berhubung usaha damai di Gaza dan Palestin, selain menegaskan bahawa penyelesaian yang diperlukan harus bersifat menyeluruh.
“Solusi kepada keamanan di Gaza dan Palestin harus bersifat komprehensif. Malaysia sudah menyatakan pandangan kita melalui Majlis Keselamatan PBB dan jika kita ingin memberikan khidmat sebagai pasukan pengaman antarabangsa, kita akan melalui badan dunia itu.
“Kita memang bersedia dan kita tahu bahawa di Lubnan, penugasan akan berakhir pada penghujung tahun hadapan, namun pasukan pengaman kita sentiasa bersedia untuk dikerahkan ke mana-mana lokasi bagi misi keamanan antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-15 di Seri Negeri, di sini, hari ini.
Adly berkata, pengalaman MALBATT di Lubnan bukan saja membuktikan kemampuan operasi pasukan itu, malah kepakaran terbabit boleh digerakkan ke lokasi konflik lain termasuk Gaza jika diperlukan.
Katanya, Malaysia komited meneruskan sokongan terhadap misi pengaman PBB, selain memastikan kepakaran pasukan pengaman negara dimanfaat sepenuhnya sekiranya dihantar ke lokasi baharu.
Terdahulu media melaporkan, Malaysia bersedia untuk menghantar pasukan pendamai ke Gaza bagi menjamin keamanan susulan perjanjian pelan damai yang ditandatangani di Mesir, baru-baru ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor berkata, perkara berkaitan penghantaran pasukan itu akan dibincangkan oleh Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), seterusnya diputuskan oleh Majlis Keselamatan PBB.
© New Straits Times Press (M) Bhd






