GENEVA: Agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengisytiharkan krisis di Asia Barat sebagai darurat kemanusiaan utama, dan menegaskan semua orang awam yang melarikan diri perlu diberikan laluan selamat.
Pesuruhjaya Tinggi PBB untuk Pelarian (UNHCR) berkata, krisis Asia Barat bermula pada 28 Februari selepas Israel dan Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan ke atas Iran sebelum merebak ke seluruh rantau berkenaan.
Menurut agensi itu, keadaan tersebut menyebabkan sejumlah besar penduduk terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing.
“UNHCR mengisytiharkan krisis yang semakin meningkat di Asia Barat sebagai darurat kemanusiaan utama yang memerlukan tindak balas segera di seluruh rantau ini.
“Peningkatan terbaharu dalam permusuhan dan serangan di Asia Barat mencetuskan pergerakan penduduk yang ketara, manakala pertempuran di sepanjang sempadan Afghanistan dan Pakistan turut memaksa ribuan keluarga melarikan diri,” kata ketua kecemasan agensi itu, Ayaki Ito, pada sidang media di Geneva semalam.
Katanya, wilayah terjejas kini menempatkan hampir 25 juta orang sebagai pelarian, mereka yang melarikan diri di dalam negara atau pelarian baru kembali dari luar negara.
Beliau berkata, UNHCR sedang berusaha untuk menyalurkan bantuan menyelamatkan nyawa ke negara-negara terjejas di seluruh rantau tersebut.
Ito berkata, penting bagi semua orang awam yang perlu berpindah atau merentasi sempadan mendapat keselamatan dan laluan yang selamat.
Serangan baharu menggegarkan Iran dan Lubnan pada Jumaat, ketika Israel berikrar untuk meningkatkan perang Asia Barat ke fasa baharu, yang merebak dengan pantas di seluruh rantau itu.- AFP






