PBMM terus perkasa pelapis bola sepak

PBMM terus perkasa pelapis bola sepak


PERSATUAN Bolasepak Melayu Malaysia (PBMM) yakin usaha melahirkan barisan pelapis bola sepak tempatan mampu diteruskan secara konsisten menerusi penganjuran kejohanan peringkat negeri oleh ahli-ahli gabungannya.

Presidennya, Mohd Firdaus Mohamed berkata, inisiatif tersebut hadir tepat masanya susulan pemansuhan Piala MFL yang sebelum ini menjadi antara platform utama pembangunan bakat muda negara.

“Langkah yang diambil ahli gabungan PBMM untuk menganjurkan liga negeri membuktikan komitmen mereka dalam membentuk ekosistem pembangunan pemain yang berterusan.

“Terbaharu, inisiatif Persatuan Bolasepak Melayu Kedah menerusi penganjuran Liga Kedah 2025 yang menyuburkan kembali ekosistem bola sepak negeri selepas ketiadaan pasukan bersaing di liga utama musim 2025/26.

“Kejohanan ini bukan sekadar medan pertandingan, malah berfungsi sebagai landasan awal untuk pemain muda membina kerjaya sebelum menembusi pentas lebih tinggi seperti Piala Emas Raja-Raja atau Liga Malaysia,” katanya ketika mengulas perkembangan semasa PBMM.

Tambah Mohd Firdaus, usaha berterusan itu turut mampu memperkukuh kerjasama bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam membentuk kelompok pemain tempatan berkualiti tinggi.

“Munculnya ramai pemain warisan ketika ini seharusnya menjadi pemangkin semangat kepada pemain tempatan untuk meningkatkan tahap permainan.

“Jika liga negeri ini diuruskan secara konsisten dan berstruktur, PBMM percaya ia boleh menjadi nadi penting dalam pembangunan bola sepak akar umbi negara,” katanya

Sebelum ini, pemansuhan saingan Piala MFL oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menimbulkan tanda tanya dalam kalangan komuniti sukan tanah air yang bimbang terhadap masa depan bakat pelapis negara.



Source link

OR

Scroll to Top