SEREMBAN: Pihak berkuasa tempatan (PBT), jabatan kerajaan dan agensi penguat kuasa di negeri ini diingatkan supaya memberikan perhatian terhadap aduan yang dikemukakan kepada mereka berhubung kerosakan jalan dan isu berkaitan kenderaan berat.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata. perhatian dan tindakan segera perlu diambil bagi mengelakkan insiden kemalangan.
“Saya sendiri terhubung dengan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri supaya melihat perkara tersebut kerana kita tidak mahu nanti menjelang hari raya kemalangan terus bertambah.
“Pihak selia Jabatan Kerja Raya (JKR), PBT dan pihak yang telah diamanahkan melaksana kerja pembaikan jalan juga perlu dilaksanakan dengan segera.
“Kerajaan negeri, menerusi kerja penyelenggaran telah bermula awal tahun dan Alhamdulilah nampaknya semua kerja naik taraf jalan dapat diselesaikan dengan segera sebelum hari raya,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di sini hari ini.
Tambah Aminuddin, beberapa jalan di kawasan Palong di Jempol yang sering mendapat aduan berkaitan kerosakan juga sudah mula dinaik taraf.
“Cuma sekarang di sebelah Palong kerja naik taraf jalan sudah bermula, dan ia melibatkan Jalan Palong 1 sehingga Palong 4 yang sudah diturap, namun masih menunggu kerja meletakkan garisan putih.
“Bagaimanapun pengguna perlu juga berhati-hati melalui jalan tersebut kerana naik taraf jalan akan mengambil masa untuk siap sepenuhnya,”katanya lagi. – UTUSAN