Pemain tengah PDRM, Mohamad Fakhrullah Mohamad Yusoff cuba melepasi kawalan Corbin-Ong dalam aksi Liga Super di Iskandar Puteri. Foto PDRM Football Club
PENGENDALI PDRM FC, P Maniam mahu pemain The Cops segera melupakan kekalahan 0-4 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi Liga Super dan fokus aksi final Piala Cabaran berdepan Selangor FC.
Malah menurut bekas pemain kebangsaan itu, skuad The Cops kendaliannya turut dilihat mempunyai masa yang mencukupi bagi melakukan persiapan menjelang aksi pertama final Piala Cabaran kali ini.
“Menjelang pertemuan final Piala Cabaran kali ini, kami harap akan dapat membuat persiapan yang terbaik.
“Oleh itu, kami juga mengharapkan kesemua pemain berada di tahap terbaik selain bersedia untuk memberi aksi 100 peratus di atas padang.
“Kami juga masih berpeluang untuk membuat persediaan sebaik mungkin bagi aksi final pertama nanti,” katanya selepas perlawanan.
Untuk format aksi final nanti, skuad The Cops akan berdepan Selangor FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 15 Februari bagi aksi pertama.
Kemudian menjadi tuan rumah kepada skuad Gergasi Merah itu bagi aksi timbal balik di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS), pada 22 Februari.
Sementara itu, Maniam berkata, beraksi berdepan JDT tanpa beberapa pemain tonggak seperti Kyaw Min Oo, Mohd Safiee Ahmad dan Bryan See, bukan alasan bagi The Cops tumpas dengan jaringan yang agak besar.
“Pada separuh masa pertama, pemain dilihat bertahan dengan baik dengan tidak memberi banyak ruang kepada pemain JDT untuk melakukan percubaan ke arah pintu gol.
“Bagaimanapun, di separuh masa kedua, pemain dilihat beraksi agak longgar sedikit setelah JDT berjaya menjaringkan gol dan ini membuatkan penjaga gol kita, Robson Rendy Rining terpaksa bekerja keras menyelamatkan pintu gol agar tidak dibolosi dengan jaringan lebih besar.
“Apa pun, secara keseluruhannya, pemain sudah melakukan yang terbaik namun ia tidak mencukupi kerana tahap JDT terlalu tinggi. Oleh itu kita perlu untuk melupakan perlawanan ini dan memberikan tumpuan penuh pada aksi final Piala Cabaran menentang Selangor, itu yang saya rasa mustahak,” katanya.