PDRM bangkit benam Kelantan

PDRM bangkit benam Kelantan


aida_adilah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Juara bertahan, PDRM, berdepan detik mencemaskan sebelum bangkit mengatasi Kelantan 26-25 dalam aksi penuh dramatik Kumpulan A saingan Piala Agong 2025 yang berlangsung semalam.

PDRM yang ketinggalan 13-22 pada separuh masa pertama hampir dikejutkan lawan, namun pengalaman dan ketenangan pemain memastikan mereka kekal sebagai pendahulu kumpulan menjelang aksi suku akhir.

Bagi jurulatih Kelantan, Syed Shazril Syed Mahadzir, beliau tetap gembira dengan prestasi yang dipamerkan pemain dan memuji semangat juang anak didiknya selepas mempamerkan semangat luar biasa untuk menutup saingan kumpulan selaku pasukan tempat ketiga dan layak ke suku akhir.

Sementara itu, Terengganu mengesahkan status selaku naib juara Kumpulan B apabila menundukkan ATM 35-31 di UPNM Kem Sungai Besi.

Aksi sengit babak kedua menyaksikan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan, namun kelebihan awal Terengganu sudah cukup untuk mengesahkan kemenangan.

Di SSMP Gambang, Kuala Lumpur turut menempah slot suku akhir selepas menewaskan Pahang 41-31.

Skuad ibu kota itu hampir terperangkap apabila ketinggalan 7-15 di separuh masa pertama, namun bangkit garang dengan serangan konsisten untuk melangkah sebagai pasukan tempat keempat Kumpulan B.

Dalam pada itu, Perlis menutup kempen peringkat kumpulan dengan penuh bergaya selepas membelasah Kedah 106-3 di Kangar semalam.

Kemenangan besar itu mengesahkan Perlis selaku naib juara Kumpulan A, manakala Kedah pulang hampa tanpa sebarang kemenangan.

Kejayaan ini sekali gus melengkapkan senarai lapan pasukan yang layak ke suku akhir dengan saingan dijangka lebih sengit apabila perebutan slot ke separuh akhir bermula minggu hadapan.

Keputusan penuh minggu kelima, Kelantan 25–26 PDRM; Pahang 31–41 Kuala Lumpur; Perlis 106–3 Kedah; ATM 31–35 Terengganu.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top