PDRM beri komitmen pastikan keselamatan PRK KKB terjamin

PDRM beri komitmen pastikan keselamatan PRK KKB terjamin


HULU SELANGOR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memberi komitmen berterusan sehingga hari pengundian bagi memastikan keselamatan orang ramai sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu terjamin.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail telah pun mengadakan perbincangan dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berhubung perkara itu.

“Perbincangan saya dengan Tan Sri Ketua Polis Negara petang tadi berkait dengan perkara keselamatan sepanjang tempoh kempen dan tempoh pengundian yang akan berlaku dalam masa empat hari lagi sangat jelas.

“Pertama, pasukan polis telahpun deploy (mengerahkan) kekuatan yang dianggap munasabah dan mencukupi.

“…dan kerana itu kita dapati kempen yang sudah masuk fasa kedua itu bilangan aduan sangat-sangat sedikit…kalau ada pun satu kes yang berkaitan dengan logo UMNO dan DAP yang digabungkan, itu yang itu menjadi basis siasatan oleh pihak polis,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui selepas menyampaikan ceramah mengenai isu semasa sempena PRK Kuala Kubu Baharu di Batang Kali di sini malam ini.

Sebelum ini, media melaporkan, Saifuddin dipetik berkata, pihaknya memberi jaminan keselamatan kepada orang ramai di DUN Kuala Kubu Baharu terpelihara sepanjang tempoh PRK kali ini.

Katanya, ini kerana pasukan keselamatan membuat persediaan seawal pengumuman kekosongan kerusi berkenaan.

Sementrara itu, Saifuddin yang juga Setiausaha Agung Pakatan Harapan berkata, setakat ini, polis tidak ada menerima laporan yang boleh dianggap sebagai mencemaskan sejak kempen PRK itu berlangsung pada 27 April lalu.

Perkara sama turut dijelaskan oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh, katanya.

“Itu adalah hasil daripada pemantauan berterusan. Jadi, komitmen pasukan polis ini akan berterusan sepanjang empat hari sehinggalah hari pengundian.

“…dan bagi memastikan bahawa pemilih-pemilih Kuala Kubu Baharu agar keluar dengan perasaan tenang, aman tanpa rasa bimbang…itu mesej pertama daripada Tan Sri IGP petang tadi,” tambahnya. – MalaysiaGazette



Source link

OR

Scroll to Top