PDRM FC dilucut hak perlawanan, Selangor selangkah julang Piala Cabaran

PDRM FC dilucut hak perlawanan, Selangor selangkah julang Piala Cabaran


Kinoshi (dua, kiri) dan penolong jurulatih PDRM, Eddy Gapil (dua, kanan) selepas sidang media. Foto MFL

PDRM FC perlu berkerja lebih keras dalam perlawanan timbal balik kedua Piala Cabaran selepas Selangor FC dianugerahkan kemenangan 3-0 pada perlawanan akhir pertama di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Petaling Jaya pada Sabtu lalu.

Ini gara-gara The Cops kendalian P Maniam yang tewas 2-3 dalam perlawanan itu didapati menurunkan pemain yang dikenakan pengantungan perlawanan ketika itu.

Keputusan itu juga motivasi buat Selangor dalam misi menamatkan kemarau hampir 10 tahun tanpa kejuaraan dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M).

“Jawatankuasa Tatatertib FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) telah membuat keputusan menjatuhkan hukuman terhadap pasukan PDRM FC kerana telah didapati bersalah menurunkan pemain yang tidak berkelayakan pada perlawanan akhir pertama Piala Cabaran 2024-2025 menentang Selangor FC di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada15 Februari lalu.

“Pada perlawanan tersebut, PDRM FC telah memasukkan Mohd Safiee Ahmad sebagai pemain gantian pada minit ke-58, sedangkan pemain berjersi nombor 32 itu sepatutnya menjalani penggantungan satu perlawanan selepas mengumpul dua kad kuning iaitu pada perlawanan suku akhir pertama menentang Melaka FC dan perlawanan separuh akhir kedua bertemu Kedah Darul Aman FC,” kata Liga Bolasepak Malaysia (MFL) pada Jumaat.

Justeru kata badan induk bola sepak negara itu, PDRM FC didapati telah melanggar Artikel 57 yang dibaca bersama Artikel 32 dalam Kod Tatatertib FAM apabila menurunkan pemain yang tidak berkelayakan pada perlawanan tersebut.

Jelas MFL, PDRM FC telah dihukum dengan dilucutkan hak perlawanan dan dikira telah kalah perlawanan tersebut dengan keputusan 3-0 dan perlu membayar denda sebanyak RM3,000.

“PDRM FC juga diberikan amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama. Keputusan ini tidak boleh dirayu.

“Segala urusan melibatkan penggantungan pemain adalah di bawah kendalian FAM sepenuhnya menerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM,” katanya.

Kedua-dua pasukan akan bertemu sekali lagi pada perlawanan akhir kedua Piala Cabaran di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada Sabtu, dengan Selangor kendalian Katsuhito Kinoshi mendahului agregat 3-0.

PDRM muncul juara Piala Cabaran pada edisi 2023 selepas menewaskan Kuching City dengan agregat 4-1.



Source link

OR

Scroll to Top