Tonggak tengah PDRM, Aremu Timothy (kanan) cuba melepasi kawalan pemain pertahanan Selangor, Sharul Nazeem Zulpakar dalam perlawanan akhir pertama Piala Cabaran di Petaling Jaya pada Sabtu lalu. Foto PDRM FC
PERLAWANAN akhir kedua Piala Cabaran, PDRM FC menentang Selangor FC akan berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Sabtu ini.
Liga Bolasepak Malaysia (MFL) pengelola saingan Liga Malaysia (Liga-M) ketika mengumumkan perkara itu berkata, pertukaran venue adalah atas permohonan pengurusan pasukan PDRM.
“MFL telah meluluskan permohonan PDRM FC untuk mengadakan Perlawanan Akhir Kedua Piala Cabaran 2024-2025 di Stadium MBPJ pada 22 Februari ini.
“PDRM FC selaku pasukan tuan rumah telah mengemukakan permohonan pertukaran venue itu kerana Stadium MBPJ telah memenuhi kriteria dan piawaian venue perlawanan akhir,” kata MFL pada Selasa.
Sebagai rekod, perlawanan akhir pertama sebelum ini yang berlangsung di Stadium MBPJ pada 15 Februari lalu, Selangor menewaskan penyandang juara PDRM, 3-2.
Gergasi Merah kendalian Katsuhito Kinoshi yang kehilangan khidmat kapten pasukan Safuwan Baharudin selepas menerima layangan kad merah minit ke-11 meledak gol menerusi Alvin Fortes (m-3, m-18) diikuti Ali Olwan (m-51).
Jaringan Cops bimbingan P Maniam pula disumbangkan tonggak lincah Shahrel Fikri Fauzi (m-27) dan Mohd Badrul Affendy Mohd Fadzli (m-39).
PIALA CABARAN
Perlawanan Akhir Kedua
SABTU (22 FEBRUARI)
PDRM FC (2) lwn (3) Selangor FC
(Stdm Majlis Bandaraya Petaling Jaya, 9 malam)
* Dalam kurungan keputusan perlawanan akhir pertama
* Tarikh, venue, masa tertakluk pindaan Liga Bolasepak Malaysia