PDRM FC utamakan kualiti bukan kuantiti

PDRM FC utamakan kualiti bukan kuantiti


Ifedayo Olusegun antara import yang menggalas cabaran PDRM musim lalu. Foto PDRM FC

PERTAMBAHAN kuota import dalam saingan Liga Super 2025/26 perlu ditangani setiap pasukan dengan lebih bijaksana bagi memastikan kestabilan kewangan pasukan.

Ketua Pegawai Eksekutif PDRM FC, Asisten Superintenden Mohamad Hafiz Zainal Abidin menyifatkan kuota 15 pemain import sebagai satu cabaran taktikal yang bukan sekadar untuk memenuhi kuota dalam pasukan.

“Secara praktikalnya, pemilihan dan kuota bergantung kepada kebijaksanaan jurulatih berdasarkan keperluan sebenar di atas padang. Saya boleh katakan sepanjang musim lepas, kami mendaftar tujuh pemain import, tetapi tidak semuanya digunakan sepenuhnya dalam perlawanan.

“Kita sedang bekerja keras untuk menyusun barisan terbaik dan kita tahu banyak pasukan lain juga sudah bersiap sedia. Kita tidak mahu ketinggalan. Kita sedang menilai beberapa import baharu dan juga akan mengekalkan beberapa pemain tempatan sedia ada,” katanya.

Sebagai rekod, The Cops mengakhiri saingan musim lalu di tangga kesembilan liga – dengan tujuh kemenangan, enam seri dan 11 kekalahan – setelah mengumpul 27 mata daripada 24 perlawanan.

Berkongsi cabaran kewangan musim 2024/25, Hafiz mengakui The Cops melalui satu perjalanan mencabar, namun tetap mampu bertahan sehingga ke penghujung musim.

“Kalau kita sebut tentang bajet, ya, kita agak terkesan musim lalu. Tapi kami berjaya mengharunginya. Ia bukan halangan untuk terus maju dan memperkemas pasukan musim ini.

“Yang penting, kita guna sebaiknya import yang ada. Bukan sekadar ambil ramai tapi akhirnya tidak beri impak di atas padang. Ini soal pengurusan skuad, bukan soal angka,” katanya.

Mengenai lampu hijau yang diberikan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk mendaftarkan 15 pemain import, Hafiz berkata, The Cops tidak akan menggunakan sepenuhnya kuota tersebut, sebaliknya tumpuan akan diberikan kepada memaksimumkan potensi pemain import yang direkrut bagi musim 2025/26.

INFO

– Saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2025/26 dijadualkan bermula Ogos depan

– Brunei DPMM FC antara pasukan mewarnai saingan Liga Super 2025/26

– Pertambahan kuota 15 pemain import dalam senarai 30 pemain setiap pasukan.



Source link

OR

Scroll to Top