hafidzul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) bekerjasama dengan Polis Persekutuan Australia (AFP) bagi mengenal pasti sumber dadah diperoleh lelaki warganegara yang ditahan pihak berkuasa negara itu.
Lelaki berusia 45 tahun itu ditahan selepas Pasukan Sempadan Australia (ABF) menemui dadah yang disembunyikan dalam komputer menerusi kiriman kargo udara pada 16 Oktober lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, pihaknya juga kini akan menyiasat jika ada saki baki anggota sindiket di negara ini.
“Kita mengesahkan penahanan rakyat Malaysia berkenaan dan kini sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Australia bagi mengetahui dari mana (asal usul) dadah berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan AFP menahan lelaki warga Malaysia berusia 45 tahun selepas disyaki menyeludup 100 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine ke negara itu, baru-baru ini.
AFP berkata, dadah tersembunyi itu ditemukan selepas pemeriksaan lanjut pasukan ABF sebelum kargo dilepaskan untuk penghantaran.
“Kiriman kargo itu dihantar ke unit simpanan di Kingsgrove (selatan Sydney) pada 30 Oktober lalu, sebelum ia diambil oleh suspek.
“Lelaki itu ditahan pihak AFP atas kesalahan cuba memiliki dadah kawalan sempadan dalam kuantiti komersial yang menjadi kesalahan mengikut Seksyen 307.5 Kanun Jenayah 1995 (Komanwel),” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, suspek dihadapkan ke Mahkamah Tempatan Pusat Downing pada 31 Oktober lalu dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman maksimum penjara seumur hidup.
“Kuantiti dadah yang dirampas boleh dijual dalam satu juta urusan jual beli secara haram di jalanan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd