nurul.hidayah@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menganjurkan pelbagai program dan aktiviti sukan serta rekreasi bagi meningkatkan kesedaran kepentingan amalan gaya hidup cergas dalam kalangan warga polis.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, inisiatif itu adalah seiring dengan matlamat Hari Sukan Negara 2024 yang bertemakan ‘Cergas Bersama’.
Katanya, ia menyokong hasrat kerajaan untuk merealisasikan Malaysia sebagai sebuah ‘negara bersukan’ dengan membudayakan sukan dalam kalangan masyarakat menerusi amalan gaya hidup sihat.
“Selaras dengan slogan ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’, Hari Sukan Negara peringkat PDRM 2024 turut dimeriahkan dengan pembabitan lapisan masyarakat bagi mengukuhkan semangat ukhuwah dan integrasi nasional antara warga PDRM bersama komuniti setempat.
“PDRM memberikan sokongan padu kepada pelaksanaan Hari Sukan Negara untuk menyuntik sinergi pembangunan ekonomi menerusi pemerkasaan Sektor Industri Sukan dan Rekreasi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam amanat sambutan Hari Sukan Negara peringkat PDRM 2024 yang dimuat naik di akaun Facebook rasmi PDRM, hari ini.
Razarudin berkata, pembabitan atlet PDRM dalam pelbagai sukan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa adalah manifestasi pasukan terhadap dasar itu.
“Sukan bukan sahaja membentuk kesihatan fizikal, malah ia juga meningkatkan disiplin, kerjasama dan semangat kesukanan.
“Peluang sebegini perlu dimanfaatkan untuk saling berinteraksi serta bersosial dalam satu keluarga besar pasukan (PDRM),” katanya.
Menurutnya, pembabitan PDRM dalam aktiviti sukan adalah penting bagi menuntut kecergasan dan kesiapsiagaan pegawai polis pada tahap optimum sebagai persediaan menghadapi pelbagai cabaran penugasan harian.
“Justeru, saya mengajak seluruh warga Sang Saka Biru supaya membudayakan aktiviti sukan dan kecergasan demi manfaat kesihatan menyeluruh untuk jangka masa panjang bagi meningkatkan kualiti kehidupan sosial.
“Marilah sama-sama menjadikan PDRM sebagai sebuah badan penguat kuasa utama yang bukan sahaja komited dalam menjalankan tugas tetapi juga aktif dalam mempromosikan gaya hidup sihat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd