EMPAT pasukan PDRM, Terengganu, Kuala Lumpur dan Perlis mengesahkan tempat ke suku akhir Piala Agong selepas menutup aksi peringkat kumpulan dengan penuh debaran pada Sabtu.
Juara bertahan, PDRM bagaimanapun hampir dikejutkan oleh Kelantan apabila sekadar menang tipis 26-25, meskipun ketinggalan 13-22 pada separuh masa pertama.
Namun, kebangkitan luar biasa skuad kendalian Dinesvaran Krishnan di babak kedua di EV Arena Elmina, Shah Alam memastikan mereka kekal selaku pendahulu Kumpulan A.
Dinesvaran mengakui perlawanan itu menjadi pengajaran berharga buat anak buahnya.
“Aksi menentang Kelantan adalah ‘wake-up call’ buat saya supaya tidak memandang rendah mana-mana pasukan.
“Saya bangga dengan pemain PDRM kerana walaupun ketinggalan jauh, kepimpinan pemain senior dan perpaduan pasukan membantu kami membuat kebangkitan menakjubkan pada separuh masa kedua,” katanya.
Walaupun tewas, Kelantan di bawah bimbingan Syed Shazril Syed Mahadzir tetap melangkah ke suku akhir selaku pasukan tempat ketiga Kumpulan A, hasil semangat juang tinggi serta peningkatan ketara dari segi disiplin taktikal.
“Saya rasa peningkatan paling ketara ialah keyakinan dan disiplin taktikal pemain. Mereka semakin memahami peranan masing-masing dan belajar daripada setiap perlawanan.
“Keserasian yang kian baik inilah yang membantu kami mara ke suku akhir,” jelas Syed Shazril.
Di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Kem Sungai Besi, Terengganu pula mengesahkan status naib juara Kumpulan B selepas menewaskan ATM 35-31 dalam perlawanan yang menyaksikan kedua-dua pasukan berbalas serangan di babak kedua.
Namun kelebihan awal diraih pasukan dari pantai timur itu menjadi pemisah keputusan buat kedua-dua jagoan Kumpulan B tersebut.
Sementara itu di Sekolah Sukan Malaysia Pahang Gambang, Kuala Lumpur turut menempah tiket ke suku akhir apabila bangkit menundukkan Pahang 41-31.
Skuad ibu kota yang ketinggalan 7-15 pada separuh masa pertama menunjukkan kebangkitan luar biasa selepas rehat.
Pengendali Kuala Lumpur, Ahmad Fadzlee Ahmad Idriss, menegaskan semangat juang dan disiplin taktikal menjadi kunci kejayaan.
“Semangat juang yang tinggi dan komitmen terhadap ahli pasukan menjadi tunjang kekuatan kami.
“Pemain percaya pada kerjasama serta taktikal jurulatih, dan itulah yang mendorong mereka memberikan saingan sengit hingga berjaya menewaskan Pahang,” katanya.
Di Padang B, Kompleks Sukan Syed Putra, Kangar, Perlis pula menutup kempen peringkat kumpulan dengan kemenangan bergaya apabila membelasah Kedah 106-3.
Kemenangan besar itu mengesahkan Perlis selaku naib juara Kumpulan A, sekali gus menambah sengit saingan suku akhir yang dijangka berlangsung minggu depan.
Ringkasan AI
- EMPAT pasukan PDRM, Terengganu, Kuala Lumpur dan Perlis mengesahkan tempat ke suku akhir Piala Agong
- PDRM, juara bertahan hampir tewas kepada Kelantan dengan skor tipis 26-25
- Kebangkitan skuad kendalian Dinesvaran Krishnan di babak kedua membantu PDRM kekal sebagai pendahulu Kumpulan A
- Kelantan tetap mara ke suku akhir walaupun tewas, menonjolkan semangat juang dan peningkatan disiplin taktikal
- Kuala Lumpur dan Perlis menunjukkan prestasi mengesankan dengan menewaskan lawan mereka dan mara ke suku akhir